UPNM dinobat Johan Debat Perdana Integriti Piala Perdana Menteri 2025
Gambar oleh Hairul Nizam Zahari
SINTOK, 27 Oktober 2025 – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Kumpulan A muncul johan pertandingan Debat Perdana Integriti Piala Perdana Menteri (DPIPPM) 2025 yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM) semalam.
Kemenangan ini membolehkan pasukan UPNM Kumpulan A membawa pulang wang tunai RM8,000 dan piala iringan.

Kegembiraan berganda dirasai apabila peserta UPNM Kumpulan A, Muhammad Idham Hafizie Zainuddin, turut dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Keseluruhan, sekali gus menerima wang tunai RM1,000 dan piala iringan.
Sementara itu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) diumumkan sebagai naib johan, membawa pulang wang tunai RM5,000 dan piala iringan.
Tempat ketiga dimenangi oleh UPNM Kumpulan B yang menerima wang tunai RM3,000 dan piala iringan, manakala Universiti Sains Malaysia (USM) meraih tempat keempat dengan wang tunai RM1,500 dan piala iringan.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah pertandingan disempurnakan oleh Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, yang mewakili YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.
Dalam ucapan penutupnya, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry berkata, pertandingan debat bukan sekadar medan pertandingan, tetapi madrasah kepimpinan dan gelanggang pembentukan jati diri mahasiswa.
“Debat melatih mahasiswa berfikir secara kritikal, berani menyuarakan pandangan dan bertanggungjawab terhadap hujah sendiri. Dari pentas debat, lahir pemimpin masa depan yang matang dan berjiwa rakyat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa tema DPIPPM 2025, iaitu “Belia Berintegriti, Asas Ketahanan Negara”, amat bertepatan dengan usaha kerajaan memperkukuh nilai moral dan etika dalam kalangan generasi muda.
“Kekuatan sebenar sesebuah negara bukan hanya diukur melalui kemajuan fizikal dan ekonomi, tetapi melalui keteguhan akhlak, amanah dan nilai integriti rakyatnya,” ujarnya.
Pertandingan DPIPPM 2025 dianjurkan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM).

Majlis tahun ini menghimpunkan 60 pasukan debat daripada IPTA, IPTS, politeknik, kolej vokasional, serta dua pasukan ASEAN dari Bandung, Indonesia.
Turut hadir Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, Setiausaha Politik Kanan, Pejabat Perdana Menteri; Dato’ Dr.Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, Yang menjalankan fungsi Pengerusi Lembaga Pengarah UUM; Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT; Prof. Dato’ Dr. Mohd Fo’ad Sakdan, Naib Canselor, UUM; Datuk Ts. Ramdzan Daud, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Integriti Malaysia; serta Prof. Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (HEPA), Universiti Malaysia Terengganu yang juga Pengerusi MADUM.



