Campus

UUM-ICM Legal Forum 2025 Tekankan Etika dan Kemanusiaan dalam Penggunaan AI dalam Bidang Undang-undang

Berita dan gambar oleh Dr. Nur Syaedah Kamis

SINTOK, 23 Oktober 2025 – Penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam bidang kehakiman perlu difahami sebagai instrumen sokongan bagi membantu hakim membuat keputusan dengan lebih efisien, bukannya sebagai pengganti kepada kebijaksanaan dan budi pertimbangan manusia.

Pandangan ini menjadi antara mesej utama yang diketengahkan dalam UUM-ICM Legal Forum 2025 bertemakan “Bridging Ethics and Innovation: Humanizing the Law for Sustainable Futures” yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Forum anjuran Pusat Pengajian Undang-undang (SoL), UUM dengan kerjasama Inns of Court Malaysia (ICM) ini diadakan bersempena 13th UUM International Legal Conference 2025 (ILC2025).

Program tersebut memberi tumpuan kepada keperluan menyeimbangkan kemajuan teknologi dengan nilai kemanusiaan dan etika dalam amalan undang-undang masa kini.

Panel forum terdiri daripada Dr. John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee, Hakim Utama Mahkamah-mahkamah Negeri Kedah / Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Negeri Kedah, dan Prof. Ts. Dr. Azham Hussain, Profesor Pusat Pengajian Pengkomputeran, UUM.
Nurul Syamim Imran, mahasiswa tahun akhir program LLB (Hons), bertindak sebagai moderator forum.

Manakala Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab, Dekan Pusat Pengajian Undang-undang, UUM, hadir sebagai tetamu kehormat.

Dalam sesi perbincangan, Dr. Mohammad Johan Lee menekankan bahawa penggunaan AI perlu disertai dengan kefahaman mendalam terhadap prinsip undang-undang agar hasilnya sahih, berlandaskan integriti dan sejajar dengan kehendak mahkamah.

Beliau menegaskan bahawa walaupun teknologi mampu mempercepatkan proses kehakiman, peranan manusia tetap menjadi tunjang utama kerana sistem AI hanya berfungsi berdasarkan input dan nilai yang diberikan oleh manusia.

Sementara itu, Prof. Ts. Dr. Azham Hussain menyorot tiga prinsip utama yang perlu diterapkan dalam penggunaan teknologi seperti AI, iaitu kejujuran, hormat dan akauntabiliti, sebagai panduan penting bagi memastikan penggunaan teknologi ini kekal beretika.

Forum ini membuka ruang wacana yang bernas mengenai bagaimana sistem perundangan dapat menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi tanpa mengabaikan nilai-nilai asas kemanusiaan dan integriti dalam pelaksanaan keadilan.

Melalui forum seperti ini, UUM terus memperkukuh peranannya sebagai institusi peneraju ilmu yang komited melahirkan pemikir dan profesional undang-undang yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga berpegang teguh kepada prinsip etika dan nilai kemanusiaan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button