Pemimpin pelajar buktikan kejayaan akademik dan kokurikulum seiring di UUM
Gambar Ihsan Abdul Fattah Zaid Arafat
SINTOK, 11 November 2025: Kejayaan tidak datang bergolek, namun dengan usaha gigih, sokongan keluarga dan semangat yang tidak pernah luntur, graduan Universiti Utara Malaysia (UUM), Abdul Fattah Zaid Arafat, 25, membuktikan bahawa kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum mampu digapai secara seimbang.
Anak sulung daripada tiga beradik kepada pasangan, Zaid Arafat Mohd Noor dan Irma Martiny Md Yasim ini menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat dengan Purata Nilaian Gred Kumulatif (CGPA) 3.68, sekali gus melakar detik membanggakan buat keluarganya.

Abdul Fattah berkata, kejayaan tersebut tidak akan tercapai tanpa dorongan berterusan daripada ibu bapa yang menjadi tulang belakangnya sejak awal pengajian.
“Yang menariknya, ibu bapa saya sendiri yang mengisi pilihan UUM di platform UPU sebagai pilihan pertama hingga keempat.
“Mereka yakin UUM adalah universiti terbaik untuk saya, dan ternyata pilihan itu sangat tepat,” katanya yang menerima ijazah pada sesi kelima daripada Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, petang ini.
Minat mendalam terhadap bidang ekonomi, perniagaan serta kewangan Islam turut menjadi faktor utama Abdul Fattah untuk memilih melanjutkan pengajian di UUM, Universiti Pengurusan Terkemuka di utara tanah air.
Mengimbau cabaran sepanjang bergelar pelajar, Abdul Fattah mengakui bahawa pengurusan masa merupakan halangan terbesar. Namun, melalui pelbagai aktiviti dan tanggungjawab, dia belajar untuk menyeimbangkan masa antara pelajaran dan kegiatan luar bilik kuliah.

Antara pencapaian yang dibanggakan ialah apabila dia terpilih sebagai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM bagi dua sesi berturut-turut (2021/2022 dan 2022/2023), mewakili universiti dalam pasukan bola sepak Liga IPT Divisyen 1 (2023) serta menyertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) sehingga berjaya mempertahankan Perisai Panglima Tentera Tahun 2024.
“Semua pengalaman ini mengajar saya bahawa pelajar UUM mampu cemerlang dalam pelbagai bidang. UUM benar-benar melahirkan pelajar yang holistik, selaras dengan objektif Hal Ehwal Pelajar (HEP),” katanya.
Antara kenangan yang tidak dapat dilupakan bagi Abdul Fattah adalah saat-saat sukar dan gembira bersama rakan-rakan seperjuangan.
“Saya masih ingat ketika minggu peperiksaan, kami semua stres kerana ujian Mandarin keesokan harinya, tetapi malam itu kami sempat membuat video TikTok beramai-ramai di Inapan Siswa Maybank yang akhirnya menjadi tular. Itulah kenangan paling manis,” katanya yang turut menerima Anugerah Emas Kokurikulum pada sesi pertama lalu.
Dia juga berbangga kerana berpeluang bertemu dua Sultan iaitu Sultan Perak dan Sultan Kedah, masing-masing ketika Istiadat Pentauliahan Pegawai Kadet PALAPES dan Sidang 1 Konvokesyen UUM ke-38.

Kini, selepas menjalani latihan praktikum di Petra Energy Berhad, Abdul Fattah terus diterima bekerja sebagai Graduate Trainee di Hong Leong Islamic Bank, sebuah permulaan yang diyakininya dapat membuka ruang untuk menyumbang semula kepada alma mater.
“Sebagai alumni, saya mahu membantu memperkukuhkan jaringan UUM di peringkat industri tempatan dan global. Terima kasih kepada Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Marthada Mohamed, serta Dekan Pusat Pengajian Perniaagan Islam, Prof. Dr. Selamah Maamor, atas bimbingan dan tunjuk ajar sepanjang pengajian,” katanya mengakhiri perbualan.
Kisah Abdul Fattah menjadi bukti bahawa dengan disiplin, semangat, dan sokongan keluarga, pelajar UUM bukan sahaja mampu unggul dalam akademik, tetapi juga menjadi pemimpin muda yang seimbang dan berdaya saing.



