Education

UUM, IDR meterai MoU perkukuh pembangunan dasar berasaskan data

Gambar Muhammad Shamsul Shafie

IPOH, 7 Mei 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Institut Darul Ridzuan (IDR) Perak di Hotel Casuarina @ Meru, hari ini.

Pertukaran MoU yang melibatkan Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan Ketua Pegawai Operasi merangkap Pemangku Ketua Eksekutif IDR, Azizul Hakim Abd Karim itu disaksikan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah IDR.

Dr. Ahmad Martadha berkata, MoU itu bertujuan memperkukuhkan kerjasama strategik dalam bidang pengukuran, penilaian, analitik data, penyelidikan dasar serta pembangunan kepakaran dan latihan profesional.

Menurutnya, pemeteraian tersebut turut menjadi simbol komitmen kedua-dua pihak dalam memperkasakan pembangunan berasaskan data dan bukti (evidence-based decision making) ke arah pembangunan negeri yang lebih mampan dan berimpak tinggi.

Pertukaran dokumen MoU itu diadakan bersempena Perak Policy and Research Conference (PPRC) 2026 yang berlangsung hari ini.

Turut diadakan kunjungan hormat Naib Canselor ke atas Ketua Pegawai Operasi IDR di bilik menunggu Hotel Casuarina @ Meru.

Tujuan kunjungan ini adalah bagi mengukuhkan sinergi akademik-industri melalui penyelidikan berimpak tinggi, penerbitan strategik, dan pembangunan komuniti bagi menyokong agenda Perak Sejahtera 2030.

Antara fokus kerjasama strategik ialah Penyelidikan Sosioekonomi & Keselamatan yang meliputi
kajian impak keselamatan maritim dan isu persempadanan Perak-Thailand dan cara menangani isu “Kemiskinan Mental” untuk transformasi minda masyarakat.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button