Campus

Keluarga bentuk minat, SoIS jadi pilihan tiga beradik dalam bidang pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa

Berita dan gambar oleh Prof. Madya Dr. Siti Darwinda Mohamed Pero

SINTOK, 16 November 2025 – Jarang berlaku, tetapi inilah kisah istimewa tiga beradik yang memilih laluan akademik sama dalam bidang Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa (INTAFF), Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Universiti Utara Malaysia. Keputusan mereka bukan kebetulan, sebaliknya mencerminkan bagaimana minat keluarga mampu membentuk masa depan tiga anak muda yang kini bergerak ke arah kerjaya berimpak global.

Tuan Eileen Nadia Tuan Hazli, yang kini bertugas di Peninsula International School Australia, Shah Alam, merupakan graduan Konvokesyen Ke-35. Adiknya, Tuan Haziq Azraai Tuan Hazli, pula menamatkan pengajian pada Konvokesyen Ke-38 tahun ini dan kini berkhidmat di Kementerian Perpaduan Negara. Sementara itu, adik mereka, Tuan Khayrin Qistina Tuan Hazli, sedang meneruskan pengajian sejak tahun 2023.

Menurut ketiga-tiga beradik ini, kecintaan mereka terhadap bidang hubungan antarabangsa, geopolitik, dan isu kenegaraan tidak datang secara tiba-tiba. Ia tumbuh sejak kecil, dipupuk dalam suasana rumah yang sarat dengan perbincangan politik, pembangunan manusia, dasar awam, dan geostrategik.

Perbualan meja makan yang bertemakan isu negara, bersama koleksi buku ayah mereka, menjadi ‘universiti pertama’ yang membuka mata mereka kepada dunia global.

Lebih menarik, kerjaya bapa mereka yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Khas Timbalan Menteri dan berpengalaman dalam strategi politik turut memberi pendedahan langsung kepada realiti politik dan tadbir urus negara.

Melihat sendiri dinamika kerja di Unit Khas Strategik, Jabatan Perdana Menteri, membantu mereka memahami bagaimana dasar dibentuk, dilaksana dan memberi kesan kepada rakyat.

Dorongan intelektual sejak kecil dan pendedahan awal inilah yang akhirnya membawa ketiga-tiga beradik memilih laluan akademik sama: Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa.

Kisah mereka menjadi gambaran jelas bagaimana sokongan keluarga, budaya ilmu dan pendedahan terhadap hal ehwal global mampu membentuk hala tuju pendidikan yang konsisten dan bermakna.

Kisah tiga beradik ini bukan sekadar unik, malah memberi inspirasi kepada mahasiswa lain bahawa minat terhadap isu global boleh diterjemah kepada kerjaya berimpak tinggi dalam hubungan antarabangsa, sains politik dan dasar awam.  Ia turut membuktikan reputasi SoIS sebagai pusat ilmu pilihan bagi melahirkan generasi muda berfikiran strategik, bersedia menjadi pemimpin dan mewakili negara di pentas dunia.

SoIS juga kekal komited sebagai institusi peneraju yang membina minda global, dan kisah keluarga ini adalah satu lagi bukti bagaimana pendidikan berkualiti mampu mencorakkan masa depan anak bangsa.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button