‘Super Tuesday’ dedah trend industri dan keperluan pasaran kerja kepada warga akademia UUM
Berita dan gambar Anis Zulaikha Kamal
SINTOK, 27 November 2025: Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Khazanah Nasional Berhad telah menganjurkan program “Super Tuesday”, sebuah program interaktif yang mengumpulkan Alumni Khazanah untuk berkongsi pengalaman serta pandangan mereka tentang perkembangan industri dan pasaran kerja semasa di HE & SHE Coffee, UUM.

“Super Tuesday” ini bertujuan meningkatkan kesedaran di kalangan pensyarah dan kaunselor mengenai keperluan serta realiti baharu dunia pekerjaan. Maklumat dan pandangan yang dikongsikan diharap dapat mempengaruhi reka bentuk kurikulum dan pendekatan penyampaian pengajaran agar lebih relevan dalam era ekonomi digital. Usaha ini juga diharapkan dapat melahirkan kumpulan calon berpotensi yang lebih besar dan kompeten dari UUM, bukan sahaja untuk Khazanah, tetapi juga untuk korporat Malaysia secara keseluruhan.
Sesi ini dikendalikan oleh Pengarah Strategic Human Capital Management, Dr. Raslan Rashid sebagai moderator dan turut hadir sebagai penceramah jemputan ialah HR Advisory & Transformation Consultant, Latifah Daud serta ahli Lembaga dan Jawatankuasa Pelbagai Organisasi termasuk Malaysian Digital Corporation (MDEC), Theta Edge Berhad dan Kulim Technology Park Corporation (KTPC).

Dalam perkongsiannya bertajuk “How can you prepare graduates for the future of work and why it is important?”, Latifah menekankan keperluan institusi pendidikan untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran masa depan, termasuk literasi digital, pemikiran kritikal, kebolehsuaian dan kecekapan komunikasi.
Menurutnya, persiapan rapi terhadap perubahan industri amat penting agar graduan bukan sahaja mampu bersaing, tetapi juga mampu memacu pembangunan negara.
Sementara itu, Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah, “Super Tuesday” membuka ruang kepada warga akademia untuk memahami kehendak sebenar industri.
“Dengan pengetahuan ini, kita dapat membimbing pelajar dengan lebih tepat dan membantu mereka bersedia menghadapi dunia pekerjaan yang dinamik,” katanya.
Program ini disertai oleh pensyarah daripada pelbagai pusat pengajian, menjadikan ia platform penting untuk memperkukuhkan kerjasama antara akademia dan industri.



