Campus

Pusat Kokurikulum raikan komitmen pasukan persembahan & muzik iringan Konvokesyen ke-38

Gambar oleh Pusat Kokurikulum

SINTOK, 24 November 2025: Pusat Kokurikulum telah menganjurkan Majlis Apresiasi Jawatankuasa Persembahan & Muzik Iringan Konvokesyen ke-38, di Dewan Angsana EDC, sebagai tanda penghargaan rasmi kepada semua staf, pelajar serta jurulatih yang bertugas sepanjang minggu Konvokesyen 2025.

Majlis ini menghimpunkan lebih daripada seratus ahli pasukan persembahan dan muzik iringan yang telah memberikan komitmen tinggi dalam menjayakan acara terbesar universiti itu.

Suasana majlis berlangsung penuh penghargaan dengan pelbagai pengisian seperti penyampaian sijil, tayangan montaj perjalanan latihan, serta persembahan ringkas oleh wakil staf dan pelajar, tarian dan ensembel muzik.

Ia bukan sahaja meraikan kejayaan persembahan ketika konvokesyen, tetapi juga mengiktiraf usaha gigih di sebalik tabir melibatkan persediaan teknikal, latihan intensif dan disiplin yang dibentuk sepanjang beberapa minggu sebelum acara berlangsung.

Dalam ucapan alu-aluan, Pengarah Pusat Kokurikulum, Dr. Za’im Ahmad, menegaskan bahawa kejayaan konvokesyen tidak hanya bergantung pada acara rasmi, tetapi turut diperkukuh oleh persembahan berkualiti yang menggambarkan citra universiti.

“Konvokesyen bukan sekadar majlis penganugerahan, tetapi pengalaman bermakna untuk graduan dan keluarga mereka. Pasukan persembahan dan muzik iringan adalah nadi yang mencipta suasana itu. Anda semua telah menunjukkan dedikasi yang mengagumkan, hadir latihan malam, mematuhi arahan jurulatih, dan sentiasa memberikan yang terbaik. Saya amat menghargai komitmen anda,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pasukan persembahan tahun ini telah mengangkat standard baharu untuk penganjuran konvokesyen pada masa hadapan.

Majlis turut diserikan dengan kata-kata penghargaan daripada wakil pelajar, Lutfiyah Adela Hema.

“Penyertaan dalam persembahan konvokesyen ini memberi kami pengalaman yang sangat berharga. Walaupun latihan kadang-kadang panjang dan mencabar, sokongan jurulatih dan rakan-rakan membuatkan kami bersemangat. Kami rasa dihargai kerana segala usaha kami diiktiraf dalam majlis seperti ini,” katanya dengan penuh terharu.

Sementara itu, wakil jurulatih muzik, Mohd Rizal Ramle, turut meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian para pelajar.

“Saya melihat sendiri bagaimana mereka berkembang dari hari pertama latihan hingga ke hari persembahan. Mereka bukan sahaja belajar teknik vokal atau muzik, tetapi juga disiplin, kepimpinan dan kerjasama. Majlis apresiasi seperti ini sangat penting untuk menaikkan semangat mereka untuk terus menyertai kegiatan kokurikulum,” katanya.

Majlis Apresiasi ini diakhiri dengan sesi bergambar, jamuan ringan serta pertemuan santai antara staf, jurulatih dan pelajar. Program ini bukan sahaja meraikan pencapaian, tetapi turut mengukuhkan hubungan kerja antara semua pihak di Pusat Kokurikulum.

Majlis ini diharapkan dapat meneruskan budaya menghargai sumbangan warga kokurikulum, sekali gus memberi motivasi kepada pelajar dan jurulatih untuk terus mencipta kecemerlangan pada program-program akan datang.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button