Delegasi SoIS perkukuh jaringan akademik antarabangsa di universiti terkemuka China
Berita dan gambar oleh Dr. Shazwanis Shukri
CHINA, 8 – 12 Disember 2025: Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya melaksanakan Program Outbound Mobility tidak berkredit ke Beijing, China.
Program mobiliti ini telah melibatkan penyertaan 29 orang pelajar SoIS yang juga merupakan penerima Biasiswa Kedutaan China bagi Tahun 2025.

Delegasi SoIS telah diketuai oleh Prof. Madya Dr. Nazariah Osman, Dekan SoIS dan turut disertai Dr. Shazwanis Shukri, Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa), SoIS.
Agenda utama program ini adalah untuk mengadakan lawatan akademik ke-2 institusi pendidikan tinggi paling berprestij di China, iaitu Peking University dan Tsinghua University dimana ianya turut menyokong kepada agenda pengantarabangsaan UUM.
Lawatan ini telah mencipta satu penanda aras baharu khususnya buat SoIS, apabila UUM menjadi antara universiti awam Malaysia yang berjaya mengadakan lawatan rasmi ke kedua-dua universiti terkemuka dunia tersebut.

Sepanjang lawatan ke Peking University, delegasi SoIS telah dibawa melawat School of International Studies (SIS) serta berpeluang mengikuti sesi taklimat yang disampaikan oleh pihak Office of International Relations, Peking University, berkaitan peluang melanjutkan pengajian di China.
Seterusnya, di Tsinghua University, para pelajar telah didedahkan dengan program hubungan antarabangsa melalui sesi perkongsian ilmu oleh profesor daripada Jabatan Hubungan Antarabangsa.
Sesi ini turut membuka ruang perbincangan dan pertukaran pandangan mengenai isu-isu semasa yang berkaitan dengan China dan hubungan antarabangsa. Selain itu, delegasi turut berpeluang melawat persekitaran kampus kedua-dua universiti berkenaan.

Di samping lawatan akademik, delegasi SoIS juga telah mengadakan kunjungan hormat ke Kedutaan Malaysia di Beijing dan disambut oleh Atase Pendidikan.
Dalam pertemuan tersebut, beliau menekankan potensi besar serta peluang luas yang tersedia kepada pelajar Malaysia untuk mendapatkan pendidikan bertaraf global di institusi pengajian tinggi terkemuka di China.
Delegasi SoIS turut mengambil kesempatan untuk mengadakan lawatan ke beberapa lokasi bersejarah di Beijing, termasuk Tembok Besar China, Tiananmen Square dan Forbidden City.
Lawatan ini dirangka bagi memberi pendedahan mendalam tentang sejarah dan peradaban China, sekali gus membuka perspektif pelajar terhadap kehebatan negara tersebut dalam memelihara warisan sejarah dunia.
Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya memberikan pendedahan yang signifikan dan bermakna kepada pelajar SoIS terhadap perbezaan budaya di China, di samping meningkatkan kemahiran adaptasi dan keupayaan survival mereka ketika berada di luar negara.
Program berimpak tinggi ini bukan sahaja membuka peluang berharga kepada para penerima biasiswa, malah turut memperluas jaringan kolaborasi antarabangsa SoIS serta mengukuhkan kedudukan UUM dalam rangkaian akademik antarabangsa.



