Campus

SEFB terima lawatan rasmi delegasi PSU, Thailand

Berita dan gambar Khairul Anuar Adnan

SINTOK, 22 Disember 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) telah menerima lawatan rasmi delegasi seramai empat staf dari Fakulti Perdagangan dan Pengurusan, Universiti Prince of Songkla (PSU), Kampus Trang, Thailand.

Delegasi PSU yang diketuai oleh Dekan Fakulti Perdagangan dan Pengurusan, Penolong Profesor Dr. Parichat Maneemai telah disambut mesra oleh Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) SEFB, Dr. Diara Md Jadi  yang mewakili Dekan SEFB, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri, bersama barisan pengurusan dan staf akademik SEFB.

Dr. Diara berkata, lawatan ini merupakan kunjungan rasmi kali keempat pihak pengurusan PSU ke SEFB, sekali gus mencerminkan hubungan kerjasama yang kukuh dan berterusan antara kedua-dua institusi pengajian tinggi tersebut.

Menurutnya, tujuan lawatan ini adalah bagi membincangkan dan memperkukuh kerjasama strategik sedia ada, khususnya dalam bidang penyelidikan dan akademik, program pertukaran pelajar dan pensyarah, penganjuran seminar bersama serta pelaksanaan Program Summer School yang telah menjadi antara program utama kerjasama antara UUM dan PSU sejak tahun 2019.

Kerjasama antara kedua-dua universiti ini telah direalisasikan melalui pelaksanaan beberapa program utama, antaranya Program Summer School 2.0, Program Summer School 3.0 serta program lawatan penandaarasan staf akademik PSU Kampus Trang ke UUM yang kesemuanya telah dilaksanakan pada tahun ini.

Selain itu, Program Summer School 4.0 turut dirancang untuk dilaksanakan pada awal tahun 2026. Menurut Dr. Diara Md Jadi, pelaksanaan program bersama PSU Kampus Trang ini telah berjalan dengan jayanya dan berjaya mengukuhkan hubungan kerjasama strategik antara kedua-dua institusi.

Sementara itu, Dr. Parichat Maneemai menyatakan bahawa kerjasama antara UUM dan PSU akan terus diperkasakan melalui kepelbagaian aktiviti akademik serta penggiatan program mobiliti pelajar antara kedua-dua universiti pada masa akan datang.

Turut hadir mewakili delegasi PSU ialah Dr. Jiraporn Yiamkhamnuan, Dr. Sudatip Prapunta dan Tarit Janpong, manakala pihak SEFB pula dihadiri oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Dr. Wan Roshidah Fadzim; Profesor Madya Dr. Nozalina Ahmad, Khairul Anuar Adnan dan Khairy Mukhtaruddin.

Lawatan rasmi ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada peluasan kerjasama strategik yang lebih menyeluruh antara UUM dan PSU, khususnya dalam memperkasa kecemerlangan akademik, penyelidikan bersama serta mobiliti pelajar dan staf di peringkat serantau dan antarabangsa.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button