Education

Projek SULAM ‘Bakat Puitis’ lahir dua antologi puisi hasil kolaborasi universiti dan komuniti

Berita dan gambar Mohd Fairuz Mhd Padoli

KODIANG, 5 Januari 2026: Usaha memperkasakan bakat penulisan kreatif dalam kalangan pelajar sekolah menengah terus diperkukuhkan melalui pelaksanaan Program Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) bertemakan “Bakat Puitis” anjuran Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Program yang dijalankan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Bendahara, Kodiang melibatkan seramai 97 pelajar daripada kursus SDCIK 2143 Pengurusan Bakat yang membimbing seramai 80 pelajar SMK Tunku Bendahara dalam proses penghasilan puisi moden bermula daripada penjanaan idea, pembangunan tema, penulisan awal sehingga ke peringkat penambahbaikan karya.

Pensyarah kursus, Mohd Fairuz Mhd Padoli berkata, pelaksanaan program ini bertujuan mengaplikasikan pengurusan bakat yang dipelajari di bilik kuliah kepada amalan sebenar melalui penglibatan komuniti.

“Melalui pendekatan SULAM, pelajar universiti bukan sahaja belajar tentang talent identification dan talent development, tetapi turut mengaplikasikannya secara langsung dalam konteks sebenar. Pada masa sama, pelajar sekolah mendapat pendedahan awal kepada dunia penulisan kreatif,” katanya.

Program ini turut diperkukuhkan dengan penglibatan penceramah jemputan daripada Persatuan Penulis Perlis (3P).

Ketua 1 3P, Prof. Madya Dr. Nor Hasimah Ismail telah menyampaikan ceramah pengenalan puisi moden yang memberi fokus kepada pemahaman konsep, ciri-ciri penulisan puisi kontemporari serta kepekaan terhadap penggunaan bahasa dan makna.

Perkongsian pengalaman beliau telah membuka ruang kepada pelajar sekolah untuk melihat puisi sebagai medium ekspresi intelektual dan kreatif yang relevan dengan realiti semasa. Keseluruhan proses ini telah membawa kepada penghasilan dua buah manuskrip antologi puisi bertajuk Insaniah dan Manusiawi. Penerbitan antologi ini bukan sahaja menjadi simbol kejayaan program, malah memberi nilai tambah kepada pelajar sekolah apabila hasil karya mereka diterbikan dalam bentuk buku dan menjadi kenangan sepanjang zaman.

SMK Tunku Bendahara turut menganjurkan Majlis Perasmian Laman ICC (Information Career Center) yang disempurnakan oleh Pengetua, Rozita Arshad dan hadir sama, Pengarah Pemasaran UUM, Prof. Madya Dr. Ahmad Hisham Zainal Abidin.

Laman ICC dipenuhi dengan maklumat berkaitan program akademik UUM serta peluang kerjaya berkaitan yang bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai laluan pendidikan tinggi dan prospek kerjaya masa hadapan. Inisiatif ini diharap dapat membantu pelajar membuat perancangan kerjaya yang lebih jelas, terarah dan berinformasi.

Pelaksanaan Program SULAM “Bakat Puitis” ini selari dengan halatuju SULAM Kementerian Pendidikan Tinggi yang menekankan pembelajaran berasaskan khidmat komuniti, pemerkasaan masyarakat dan pembangunan graduan holistik.

Melalui program ini, hubungan universiti bersama masyarakat diperkukuh secara berimpak tinggi dan mampan, disamping melahirkan pelajar universiti yang berdaya saing, beretika dan prihatin terhadap keperluan komuniti. Kejayaan program ini membuktikan bahawa kolaborasi strategik antara universiti, sekolah dan persatuan mampu melahirkan ekosistem pembangunan bakat yang menyeluruh.

Program SULAM “Bakat Puitis” sekali gus menjadi contoh terbaik bagaimana ilmu akademik boleh disulam bersama khidmat komuniti untuk mencorak masa depan bakat kreatif generasi muda.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button