Education

Guru Evo 2.0 Serlah Inovasi Pendidikan Pelajar SoE UUM

Gambar oleh Lauraclara William

SINTOK, 6 Januari 2026: Kreativiti dan pemikiran inovatif pelajar Pusat Pengajian Pendidikan (SoE), Universiti Utara Malaysia (UUM) terserlah menerusi penganjuran Program Guru Evo 2.0, sebuah pertandingan bahan pengajaran dan pembelajaran berkonsepkan pitching inovasi yang melibatkan pelajar tahun akhir kursus Etika dan Profesional Keguruan (SGDAK4103).

Program yang memasuki penganjuran kali kedua ini merupakan kesinambungan kejayaan edisi sulung yang diadakan pada 12 Januari 2024.

Ia menjadi platform penting kepada pelajar untuk menterjemahkan teori profesional keguruan kepada amalan sebenar melalui pembangunan inovasi pendidikan yang praktikal dan relevan dengan konteks bilik darjah.

Menurut Penasihat Program, Prof. Madya Dr. Norliza Kushairi, Guru Evo 2.0 bukan sahaja berfungsi sebagai kaedah penilaian autentik kursus, malah membuka ruang kepada pelajar untuk meneroka idea kreatif serta membina inovasi pengajaran yang berdaya saing.

Beliau berkata, program ini berjaya mempamerkan keupayaan pelajar SoE dalam menghasilkan bahan pembelajaran yang autentik, kreatif dan berpotensi untuk dikomersialkan.

Beliau turut menjelaskan bahawa selain memupuk minda inovatif, Guru Evo 2.0 juga menyokong usaha menyemai elemen keusahawanan dalam kalangan bakal pendidik.

Produk yang mempunyai nilai komersial diketengahkan sebagai inisiatif meningkatkan kebolehpasaran graduan serta menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi melalui pengkomersialan inovasi pendidikan.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Dekan SoE, Prof. Madya Dr. Mohd Khairi, yang menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen serta kualiti inovasi yang ditonjolkan oleh pelajar tahun akhir SoE.

Beliau menyifatkan Guru Evo 2.0 sebagai satu contoh terbaik bagaimana inovasi pendidikan mampu memberi impak positif terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran, selaras dengan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan pendidikan yang holistik dan bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar.

Sepanjang program berlangsung, sebanyak 23 kumpulan telah membentangkan pelbagai set permainan kad Guru Evo 2.0 yang menampilkan variasi konsep, mekanisme permainan serta objektif pembelajaran yang berbeza.

Penghasilan bahan inovasi ini diselia oleh para pensyarah kursus iaitu Prof. Madya Dr. Norliza Kushairi, Dr. Marina Nazrin dan Dr. Yeap Sock Beei.

Seorang pelajar Ijazah Sarjana dari Iraq yang hadir sebagai tetamu turut mengakui bahawa inovasi tersebut bukan sahaja menarik dari segi visual dan interaksi, malah berpotensi digunakan secara meluas sebagai bahan bantu mengajar di sekolah.

Program pitching ini telah dinilai oleh 11 orang juri yang terdiri daripada pensyarah SoE, wakil Innovation & Commercialisation Centre (ICC) UUM serta Institut Pembangunan Koperasi dan Pembangunan Keusahawanan (Co-operation and Entrepreneurship Development Institute, CEDI) UUM.

Hasil penilaian menyaksikan enam kumpulan dinobatkan sebagai pencipta terbaik, selain lapan produk menerima anugerah kategori Emas, lapan produk kategori Perak dan tujuh produk kategori Gangsa.

SoE turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ICC UUM atas sokongan pembiayaan dan pembangunan projek inovasi pelajar, serta CEDI UUM atas peranan aktif dalam membimbing pelajar ke arah pemerkasaan inovasi dan keusahawanan pendidikan.

Prof. Madya Dr. Ani Munirah dari ICC dan Dr. Juhaida Abu Bakar dari CEDI turut menyatakan bahawa penganjuran Guru Evo menjadi titik tolak penting dalam membawa produk inovasi pendidikan ciptaan pelajar ke pasaran luar, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekosistem pendidikan yang berdaya saing dan berorientasikan penyelesaian masalah.

Secara keseluruhan, penganjuran Guru Evo 2.0 membuktikan komitmen SoE, UUM dalam memperkukuh budaya inovasi, pemikiran kreatif serta ekosistem pengkomersialan dan keusahawanan melalui pembelajaran berasaskan projek hasil ciptaan mahasiswa sendiri. – Qatrunnada Zakaria

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button