Education

Program Latihan “Grow-N-Go: Grow Skills, Go Further”

Gambar oleh Pelajar Kursus BPMHK3133

BUKIT TANGGA, 12 Januari 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Kursus BPMHK3133 Management of Training for Trainers telah menganjurkan satu Program Latihan “GROW-N-GO: Grow Skills, Go Further” di Kolej Pertanian Malaysia (KPM) Bukit Tangga, Kedah.

Inisiatif ini merupakan manifestasi agenda Service-Learning Malaysia-University for Society (SULAM) yang bertujuan menterjemah ilmu akademik kepada impak nyata buat komuniti setempat menerusi konsep pembelajaran berkhidmat.

Program ini melibatkan seramai 35 pelajar daripada Kursus BPMHK3133 Management of Training for Trainers yang membimbing seramai 62 orang pelajar KPM dalam persediaan menghadapi alam pekerjaan telah dirasmikan Ketua Seksyen Hal Ehwal Pelatih, Kolej Pertanian Malaysia (KPM) Abdul Fattah Roslan.

Program yang memfokuskan kepada pembangunan kemahiran dan kerjaya ini menampilkan empat slot bengkel utama yang komprehensif iaitu:

  1. Slot 1 (Literasi Digital): Pemantapan kemahiran teknikal melalui bengkel Microsoft Excel.
  2. Slot 2 & 3 (Persediaan Kerjaya): Teknik penyediaan resume profesional dan bimbingan profil LinkedIn untuk penjenamaan diri.
  3. Slot 4 (Kesedaran Sosial): Sesi perkongsian bersama PERKESO mengenai skim perlindungan sosial dan perancangan kerjaya.

Justeru, berdasarkan konteks program SULAM yang dijalankan, terdapat pemindahan ilmu secara dua hala antara pelajar UUM dan pelajar KPM yang mewujudkan sinergi pendidikan yang lebih bermakna.

Fokus utama adalah pada pemindahan kemahiran insaniah (soft skills) dan kebolehkerjaan yang telah dipelajari dalam kursus Pengurusan Sumber Manusia.

Antaranya ialah pelajar UUM membimbing pelajar KPM dalam mebina profil LinkedIn yang menarik serta lebih kompetitif di alam pekerjaan.

Sebagai institusi teknikal, pelajar KPM boleh memindahkan ilmu praktikal berkaitan bidang mereka kepada pelajar UUM bagi memperluas perspektif pengurusan industri antaranya ialah pelajar KPM menunjukkan disiplin dan ketahanan fizikal yang diperlukan dalam industri teknikal, memberikan perspektif baharu kepada pelajar UUM dalam merangka polisi sumber manusia yang lebih empati terhadap pekerja lapangan.

Pensyarah kursus, Dr. Siti Noorjannah Abd Halim menjelaskan bahawa program ini direka khusus untuk memberi pendedahan menyeluruh kepada pelajar mengenai kitaran pengurusan latihan, merangkumi fasa sebelum, semasa, dan selepas pelaksanaan.

Menurutnya jika sebelum ini pelajar hanya bergantung kepada teori perancangan di dalam bilik kuliah, inisiatif ini memberi peluang keemasan kepada mereka untuk menterjemahkan ilmu tersebut secara praktikal dan realistik.

Tuntasnya, Melalui penganjuran program ini, UUM terus membuktikan komitmennya dalam melahirkan graduan berdaya saing serta menyumbang kepada pembangunan komuniti pendidikan melalui program latihan berimpak tinggi dan berorientasikan masa depan. – Nurul Asyikin Sulaiman & Ayu Umairah Jamiran.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button