Education

UUM Perkukuh Hubungan dengan Komuniti Antarabangsa Melalui Sesi Bersama Naib Canselor

Gambar oleh Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 13 Januari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan sesi An Up-Close Engagement with the Vice-Chancellor yang menghimpunkan pelajar antarabangsa dan staf fakulti bagi mengukuhkan hubungan serta membuka ruang dialog bersama Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, di CAS Seminar Hall.

Dalam ucapannya, Prof. Dr. Ahmad Martadha menegaskan bahawa sesi ini merupakan satu inisiatif penting kerana buat pertama kalinya pelajar antarabangsa dan staf akademik disatukan dalam satu platform bagi membincangkan isu serta berkongsi pandangan secara langsung bersama pihak pengurusan universiti.

Menurut beliau, sesi ini bertujuan untuk mendengar sendiri cabaran, keperluan dan pengalaman komuniti antarabangsa di UUM, sama ada sebagai pelajar mahupun sebagai warga akademik.

Beliau turut menjelaskan bahawa UUM, seperti universiti awam dan swasta lain, sentiasa berusaha meningkatkan jumlah pelajar, khususnya pelajar antarabangsa, sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan universiti.

 

Walaupun UUM berbangga kerana terdapat pelajar antarabangsa yang telah memilih universiti ini untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD), universiti masih komited untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai universiti pengurusan terkemuka.

Dalam masa yang sama, beliau mengalu-alukan maklum balas daripada pelajar dan staf antarabangsa mengenai bagaimana UUM boleh menambah baik sokongan dan kemudahan bagi memastikan mereka dapat belajar dan bekerja dalam suasana yang selesa dan kondusif.

Program anjuran Centre for International Affairs and Cooperation (CIAC) ini turut menjadi platform bagi menggalakkan pelajar dan staf antarabangsa memainkan peranan dalam memperkenalkan UUM kepada masyarakat antarabangsa. – Noor Zafiera Ahmad Idris

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button