Lawatan Naib Canselor ke Pusat Pengajian Pendidikan tinjau penyediaan Makmal Kaunseling
Gambar oleh Pusat Pengajian pendidikan (SoE)
SINTOK, 12 Januari 2026: Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Marthada Mohamed telah mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pengajian Pendidikan (SoE) bagi meninjau secara dekat keadaan bilik yang dicadangkan untuk penyediaan Bilik Kaunseling Individu serta penambahbaikan Bilik Kaunseling Kelompok.

Lawatan tersebut turut diiringi oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad bersama Pengarah Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Insfrastrukutr (JPPI) Ir. Hamdan Noh bagi memastikan kemudahan kaunseling yang disediakan memenuhi keperluan Audit Pematuhan, selaras dengan standard yang ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM) bagi Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling).
Dalam sesi lawatan, Pengarah JPPI telah memberi taklimat berkaitan keperluan infrastruktur, susun atur ruang, privasi klien serta aspek keselamatan yang perlu dipatuhi dalam pengoperasian makmal kaunseling.

Penambahbaikan kemudahan ini penting bagi menyokong latihan praktikal pelajar serta memastikan kualiti program akademik terus terpelihara.
Dekan SoE Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman, menyatakan bahawa lawatan ini amat bermakna dalam memperkukuh usaha SoE menyediakan kemudahan makmal kaunseling yang menepati keperluan MQA dan Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM).
“Penyediaan Bilik Kaunseling Individu serta penambahbaikan Bilik Kaunseling Kelompok merupakan keperluan penting bagi memastikan latihan praktikal pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) dapat dilaksanakan secara beretika, profesional dan selaras dengan standard semasa,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa komitmen dan sokongan berterusan daripada pihak pengurusan universiti menjadi pemangkin kepada usaha SOE dalam mengekalkan kualiti program akademik serta melahirkan graduan kaunseling yang kompeten dan berdaya saing. – Hasliza Shafie



