Imam Masjid Sultan Badlishah bimbing pelajar Sekolah Antarabangsa UUM
Gambar oleh Sharif Abdus Salam Sharif Saad
SINTOK – Masjid Sultan Badlishah, Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi pilihan pelajar dan masyarakat antarabangsa sebagai pusat menuntut ilmu apabila sekumpulan pelajar daripada Sekolah Antarabangsa UUM (UUM International School) mengikuti sesi bimbingan al-Quran bersama Imam Masjid Sultan Badlishah, Ustaz Sharif Abdus Salam Sharif Saad.

Sesi bimbingan tersebut disertai oleh Abdus Salam Sompong, Yalan Sompong, Salman Chalermchai, Naifjehsoh dan Afdhol Anan Chai, yang hadir bagi mendalami bacaan al-Quran serta memahami asas penghayatan Islam dalam suasana masjid yang kondusif dan terbuka.
Menurut Abdus Salam Sompong, peluang belajar secara langsung bersama imam masjid UUM memberi pengalaman yang bermakna.
“Kami berasa sangat bersyukur dapat belajar al-Quran di Masjid Sultan Badlishah UUM. Bimbingan yang diberikan sangat jelas dan membantu kami memahami bacaan dengan lebih baik,” katanya.
Program seumpama ini mengukuhkan peranan Masjid Sultan Badlishah sebagai pusat ilmu dan dakwah yang inklusif, selain menjadi medium penyatuan budaya serta pengukuhan kefahaman Islam dalam kalangan komuniti antarabangsa UUM. – Nor Azlinah Zaini



