Education

UUM Akan Tubuhkan Pusat Pembelajaran Bahasa Inggeris di Qingdao Huanghai University (QHHU), China

Gambar oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Hisham Zainal Abidin

Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pembangunan Profesional (PDU) akan menubuhkan sebuah Pusat Pembelajaran Bahasa Inggeris (English Learning Center – ELC) di Qingdao Huanghai University (QHHU), China, sebagai sebahagian daripada usaha strategik universiti untuk memperkukuh kerjasama akademik serta memperluas jangkauan global UUM.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed telah menghantar delegasi UUM yang diketuai oleh Prof. Dr. Selamah Maamor, Dekan Islamic Business School (IBS), bersama Prof. Madya Dr. Ahmad Hisham Zainal Abidin (Jabatan Pemasaran), Dr. Noor Asbahan Shahizan (PDU) dan Dr. Muhammad Ali Ridha Norman dari School of International Studies (SOIS) ke Qingdao Huanghai University (QHHU) dengan misi membincangkan aktiviti kerjasama strategik antara kedua-dua institusi.

Pusat yang dicadangkan ini akan berfungsi sebagai hab latihan bahasa Inggeris, persediaan akademik dan pembelajaran silang budaya, dengan sasaran utama pelajar China yang ingin meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris bagi tujuan akademik dan profesional.

Melalui kerjasama ini, PDU UUM akan menyediakan reka bentuk kurikulum, kepakaran akademik serta modul latihan yang selaras dengan piawaian antarabangsa yang diiktiraf.

Menurut Dr. Noor Asbahan, ELC ini akan menawarkan program bahasa Inggeris berstruktur yang memberi tumpuan kepada kemahiran komunikasi berkesan, bahasa Inggeris akademik serta bahasa Inggeris profesional, yang akan disampaikan oleh tenaga pengajar berpengalaman dari Universiti Utara Malaysia.

Pusat ini dijangka memberi perkhidmatan kepada pelajar Qingdao Huanghai University serta institusi pendidikan lain di kawasan sekitarnya.

Ia juga akan berfungsi sebagai platform strategik untuk menyalurkan pelajar ke UUM dengan menyediakan persediaan memenuhi keperluan tahap penguasaan bahasa Inggeris, termasuk piawaian IELTS, di samping melengkapkan pelajar dengan kesediaan akademik untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama dan pascasiswazah di UUM.

Pelaksanaan inisiatif ini akan dijalankan secara berfasa, dengan program perintis dijadualkan bermula pada Mac 2026.

Usaha ini selari dengan agenda pengantarabangsaan UUM serta menjadi platform mampan bagi pengambilan pelajar antarabangsa dan pengukuhan penglibatan akademik jangka panjang. – Dr. Muhammad Ali Ridha Norman.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button