Campus

UUM tampilkan inovasi hijau di program jualan agro Madani Mega Zon Utara

Berita dan gambar oleh Nur Azean binti Baharom

JITRA, 17 JAN 2026 – Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menampilkan dua inovasi lestari iaitu Ecobite (Food Waste Compost) dan sistem Akuaponik dalam Program Road To Jualan Agro Madani (JAM) Mega Zon Utara yang berlangsung di Dataran Darul Aman, Jitra, baru-baru ini.

Program yang dirasmikan oleh Ketua Penolong Pegawai Pembangunan Daerah Kubang Pasu, Mohd Afiq Azizi,  itu, berjaya menarik minat ramai pengunjung termasuk usahawan, petani dan komuniti setempat.

Turut memeriahkan program ialah artis jemputan Lan Pet Pet dan persembahan Wayang Kulit Asun.

Wakil STML UUM, Pembantu Penyelidik, Dr. Maheera Mohamad bersama, Nur Azean  Baharom, mempamerkan teknologi Akuaponik yang dibangunkan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Farizal Rajemi.

Sistem ini menggabungkan penternakan ikan dan penanaman sayuran secara bersepadu, menggunakan kitaran air tertutup yang menjimatkan air dan bebas baja kimia.

Selain itu, inovasi Ecobite yang dibangunkan oleh Prof. Log. Ts. Dr. Mohd Rizal Razalli turut dipamerkan. Ecobite merupakan sistem pengkomposan sisa makanan yang mudah dan mesra alam, sesuai digunakan di peringkat rumah, komuniti atau institusi.

Program ini dianjurkan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Asun dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta. Kejayaan program membuktikan komitmen bersama dalam mempromosikan pertanian moden, teknologi hijau dan keusahawanan dalam kalangan komuniti peladang.

“Kami berharap inovasi ini dapat diterapkan oleh petani dan usahawan di Kedah untuk meningkatkan produktiviti dan kelestarian,” ujar Pengurus Besar PPK Asun, Mohd Hafizan Ismail,

Program berakhir dengan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, sekaligus menekankan pentingnya kerjasama antara universiti, kerajaan dan komuniti dalam memacu transformasi agro-ekonomi negeri.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button