Program “Catur Melayu dan Kita” inisiatif akademik untuk memperkenalkannya kepada masyarakat umum
Gambar oleh STHEM
SINTOK, 18 Januari 2026: Satu webinar bertajuk Catur Melayu dan Kita telah berjaya dianjurkan oleh pelajar Sarjana dari Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Universiti Utara Malaysia. Program ini dilaksanakan di bawah seliaan Dr. Amirul Husni Affifudin sebagai sebahagian daripada inisiatif akademik untuk memperkenalkan Catur Melayu kepada masyarakat umum. Program ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MoTAC) serta Arkib Negara Malaysia.

Webinar ini menampilkan Dr. Mohd. Hasanuddin bin Mohd. Yusof daripada Maktab Penyelidikan Tamadun Alam Melayu dan Islam (MAPTAMI) sebagai penceramah jemputan. Dalam pembentangannya, beliau memberi tumpuan kepada pendedahan sejarah dan kepentingan Catur Melayu sebagai warisan intelektual yang telah wujud sejak zaman Nabi Musa.
“Permainan catur berasal dari Mesir sebelum tersebar ke Yunani, India, Asia Timur, Asia Tenggara, Parsi, dunia Islam dan seterusnya ke Eropah. Dalam konteks masyarakat Melayu, catur bukan sekadar permainan rekreasi, sebaliknya berfungsi sebagai medium untuk mengasah akal, membina pemikiran strategik serta menyusun strategi peperangan pada zaman dahulu,” ujar beliau.

Program ini turut mengetengahkan keunikan Catur Melayu yang mempunyai sebanyak 19 jenis, sekali gus membuktikan kekayaan variasi serta kebijaksanaan strategik dalam tamadun Melayu. Pendedahan ini membantu para peserta memahami bahawa Catur Melayu mencerminkan falsafah, nilai intelektual dan identiti budaya yang telah berkembang seiring dengan sejarah peradaban dunia.
Selain aspek ilmiah, penganjuran webinar ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang permainan Catur Melayu yang semakin hilang ditelan zaman. Pihak penganjur berharap usaha ini dapat menjadi langkah awal untuk mengangkat semula permainan Catur Melayu agar ia kembali dikenali, dihargai dan dipelihara sebagai sebahagian daripada khazanah warisan budaya negara.
Secara keseluruhan, penganjuran webinar Catur Melayu dan Kita berjaya mencapai objektifnya dalam memupuk kesedaran terhadap warisan budaya serta mencerminkan peranan aktif pelajar Sarjana STHEM dalam memartabatkan budaya melalui pendekatan akademik dan perkongsian ilmu. – Nur Fatin Farida binti Zulkifle



