Satu Selasa setiap bulan untuk aktiviti riadah – Naib Canselor UUM
Gambar oleh Mohd Hairul Nizam Zahari
SINTOK, 27 Januari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) mewajibkan setiap jabatan atau pusat tanggungjawab menjadikan satu hari Selasa dalam sebulan untuk melaksanakan aktiviti riadah.
Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, memaklumkan bahawa setiap jabatan atau pusat tanggungjawab dikehendaki mengadakan aktiviti riadah sekali pada setiap hari Selasa setiap bulan dari pukul 8.30 pagi hingga 2.00 petang.

“Pada hari tersebut, tiada sebarang bengkel atau mesyuarat dibenarkan agar semua staf dapat memanfaatkan masa ini untuk aktiviti riadah demi menjaga kesihatan fizikal dan mental,” katanya dalam Perhimpunan Bulanan Staf & UUMFiT di Padang Kawad PALAPES, UUM.
Data semasa Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan Universiti (PKKU) menunjukkan sebahagian kakitangan terlebih berat badan.
Dalam profile kesihatan 2025, seramai 655 staf atau 32 peratus, bacaan BMI melebihi 25, manakala 485 staf atau 24 peratus, bacaan BMI melebihi 30.

Dalam masa sama, penghidap diabetes seramai 258 orang atau 12.8 peratus. Yang mempunyai kolestrol berlebihan seramai 154 atau 7.63 peratus manakala penghidap hypertension pula seramai 466 orang atau 23 peratus.
Dari segi kesihatan mental (mental health) pula, seramai 70 orang atau 6.5 peratus penghidap stres, 189 orang atau 17.6 peratus pula ada anxiety, manakala 44 orang atau 4 peratus penghidap depression.
Dr. Ahmad Martadha menekankan kepentingan kesejahteraan fizikal dan mental staf, kerana tanpa kesihatan yang baik, setiap individu sukar menunaikan tanggungjawab dan amanah yang diberikan serta memberi komitmen penuh untuk meningkatkan produktiviti.

Majlis pagi tadi turut menyaksikan Pelancaran Gotong-Royong Perdana EKSA dan Program Ihya Ramadan 1447H, yang bertujuan menyemai budaya kerja positif, disiplin, serta tanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran tempat kerja, sambil memperkasakan program kebajikan, kesukarelawanan, dan menggalakkan penyertaan staf dalam aktiviti infak serta bantuan komuniti.
Program ini juga diserikan dengan aktiviti brisk walk, yang memberi peluang kepada staf menjaga kecergasan sambil berinteraksi, mengeratkan hubungan sosial, serta menekankan kepentingan kesihatan fizikal sambil memperkukuh silaturahim dan semangat kerja berpasukan dalam kalangan warga UUM.

Secara keseluruhan, Perhimpunan Bulanan Staf & UUMFiT berjaya mencapai objektifnya, iaitu menggalakkan amalan gaya hidup sihat, mengeratkan hubungan sesama warga kampus, dan menanam semangat kerja berpasukan, sambil memastikan kesejahteraan fizikal dan mental sentiasa dijaga bagi meneruskan usaha meningkatkan produktiviti dan keberkesanan kerja di universiti.



