Education

Jambatan mini, impak maksimum: Murid SK Padang Pekan teroka dunia kejuruteraan

Gambar dan berita Yuhaniz Ahmad

JITRA, 28 Januari 2026: Keterujaan jelas terpancar pada wajah murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pekan apabila mereka diberi peluang menyertai aktiviti kedua Program STI 100³ Kitaran 2 Tahun 2025 yang berlangsung dalam suasana pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar (hands-on learning) pada 21 Januari lalu.

Program yang dilaksanakan oleh pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) ini diketuai oleh Yuhaniz Ahmad bersama Dr. Ayu Abdul Rahman, Zakiah Hashim dan Norhafiza Mohd. Noor.

Yuhaniz  berkata, melalui cabaran bertemakan “BridgeMaster Challenge”, murid didedahkan buat pertama kali kepada asas pembinaan jambatan dan prinsip kejuruteraan struktur.

“Dengan hanya menggunakan bahan mudah seperti batang aiskrim, murid diuji untuk mereka bentuk serta membina jambatan yang kukuh dan stabil secara berkumpulan.

“Walaupun ini merupakan pengalaman pertama mereka dalam aktiviti pembinaan struktur, hasil yang dipamerkan amat membanggakan,” katanya.

Kebanyakan jambatan yang dihasilkan berjaya menampung beban sehingga 22.5 kilogram dalam sesi ujian kekuatan, sekali gus membuktikan keupayaan murid mengaplikasikan pemikiran logik, kerjasama berpasukan dan penyelesaian masalah secara kreatif.

Namun begitu, bakat mereka masih perlu terus diasah, khususnya dalam aspek reka bentuk dan kreativiti bagi menghasilkan binaan yang lebih inovatif dan efisien pada masa akan datang.

Sementara itu, Guru STEM SK Padang Pekan berkata, tahun 2025 merupakan tahun pertama dia melibatkan diri secara aktif di Kelab STEM di SK Padang Pekan.

Menurutnya, penglibatan murid-murid dalam program seperti STI 100³ telah memberi pendedahan awal yang amat bermakna serta berjaya meningkatkan minat dan keyakinan mereka terhadap bidang STEM.

Murid-murid kini dilihat semakin bersemangat dan tidak sabar untuk menyertai aktiviti ketiga yang juga merupakan aktiviti terakhir bagi kitaran 2 STI 1003 ini, sekali gus menandakan penutup kepada satu siri pembelajaran yang memberi impak besar walaupun bermula dengan binaan berskala kecil.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button