CampusEducation

Pendidikan berterusan kakitangan makmal: UUM SBM teroka Kerjasama Kohort MSc (OSHM) bersama KSKM Kedah

Gambar oleh: Wan Mohamad Kamil ​Wan Salim

SINTOK, 13 Julai 2026 – Dalam usaha memperkasa tahap profesionalisme dan keselamatan di tempat kerja, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan satu sesi perbincangan strategik bersama Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal (KSKM) Cawangan Kedah.

Perbincangan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Kedah, SBM ini memfokuskan kepada cadangan penawaran program Sarjana Sains (Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) atau Master of Science (Occupational Safety and Health Management) [MSc (OSHM)] secara pengajian kohort khusus buat ahli kesatuan.

Delegasi KSKM Cawangan Kedah yang terdiri daripada 7 orang ahli kanan telah diketuai sendiri oleh Presidennya, Puan Rosidah Binti Abdul Rofat.

Kehadiran delegasi ini disambut baik oleh dekan SBM, Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad dan barisan pengurusan tertinggi SBM UUM yang melihat kolaborasi ini sebagai satu langkah serampang dua mata dalam melonjakkan modal insan sektor sokongan akademik, khususnya kakitangan makmal sekolah dan institusi pendidikan.

Tugas kakitangan makmal sentiasa terdedah kepada pelbagai risiko keselamatan, pengendalian bahan kimia, dan pengurusan sisa domestik yang memerlukan tahap pematuhan standard yang tinggi. Menyedari hakikat ini, program MSc (OSHM) yang ditawarkan oleh SBM UUM dilihat sebagai platform terbaik untuk mendedahkan ahli kesatuan kepada aspek perundangan, pengurusan risiko, dan budaya keselamatan bertaraf global.

Sesi perbincangan yang bermula jam 10.00 pagi itu dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Dekan SBM, diikuti dengan pembentangan menyeluruh mengenai struktur kurikulum program, syarat kemasukan fleksibel, serta mod pengajian yang mesra kerjaya bagi memastikan ahli KSKM dapat mengimbangi komitmen kerja dan tuntutan akademik.

Kemuncak program adalah sesi perbincangan dua hala antara pihak universiti dan wakil KSKM Kedah. Puan Rosidah Binti Abdul Rofat bersama barisan jawatankuasa seperti Puan Norshuhaida Bt Mat Said @ Ali, Puan Khairul Bismi Binti Abdul Karim, Encik Mohd Fakri Bin Mansor, dan ahli delegasi yang lain telah memberikan input-input penting mengenai realiti tugasan kakitangan makmal di lapangan.

Antara perkara utama yang dibincangkan termasuklah:

  • Mod Pengajian: Kesesuaian jadual kuliah (hujung minggu atau secara hibrid) agar tidak menjejaskan operasi harian makmal di premis masing-masing.
  • Struktur Kurikulum: Penekanan terhadap kajian kes yang relevan dengan pengurusan makmal sains dan teknikal.
  • Laluan Kerjaya: Bagaimana kelulusan sarjana ini mampu menyumbang kepada lonjakan gred perkhidmatan dan pengiktirafan profesional ahli KSKM.

Perbincangan yang berakhir pada jam 1.00 tengah hari itu menzahirkan impak yang sangat positif dengan beberapa rumusan dan tindakan susulan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Kerjasama pembentukan kohort khas ini dijangka bakal mempermudah proses pendaftaran masuk kumpulan pertama ahli KSKM Kedah ke menara gading tidak lama lagi.

Melalui inisiatif ini, SBM UUM sekali lagi membuktikan komitmennya bukan sahaja sebagai institusi menara gading yang unggul dalam bidang pengurusan perniagaan, malah sebagai rakan strategik industri yang sentiasa peka terhadap keperluan peningkatan kemahiran (upskilling) tenaga kerja tempatan demi memacu agenda keselamatan negara. – Dr. Luqman Mahmud

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button