Bengkel persediaan pesta buku utara 2026 mantapkan gerak kerja awal
Gambar oleh Muhammad Hasiff Muner
SINTOK, 3 Februari 2026: Bengkel Persediaan Pesta Buku Utara (PBU) 2026 anjuran UUM Press yang berlangsung kelmarin menjadi langkah awal memastikan penganjuran pesta buku di utara tanah air itu berjalan lancar dan mencapai sasaran pengunjung yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Bengkel yang diadakan di Banquet Room, Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) itu turut disertai wakil Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) selaku rakan strategik penganjuran PBU 2026, yang dijadualkan berlangsung pada 25 hingga 29 April 2026.
Pengarah UUM Press, Prof. Madya Dr. Johan Afendi Ibrahim, dalam ucapan alu-aluannya menekankan kepentingan penyelarasan awal antara semua jawatankuasa bagi memastikan PBU 2026 tampil lebih tersusun, berimpak dan mampu menarik penyertaan lebih luas daripada komuniti kampus serta masyarakat sekitar.
“PBU bukan sekadar pesta jualan buku, tetapi platform ilmu yang menghimpunkan penerbit, penulis, pembaca dan institusi pendidikan. Tahun 2026 perlu menjadi edisi yang lebih dinamik dan inklusif,” katanya.

Bengkel sehari itu menyaksikan setiap kumpulan jawatankuasa membentangkan perancangan awal meliputi strategi promosi, pengurusan logistik, keselamatan, pengisian ilmiah serta penyelarasan operasi sepanjang lima hari penganjuran.
Bengkel berakhir dengan sesi rumusan dan penetapan garis masa tindakan bagi memastikan semua perancangan dapat dilaksanakan mengikut jadual.
PBU 2026 dijangka menarik penyertaan lebih meluas daripada sekolah-sekolah, institusi pendidikan tinggi di utara tanah air serta komuniti peminat membaca yang sentiasa menantikan program berteraskan ilmu dan bahan bacaan berkualiti. – Mohammad Amzari Bakri



