EducationFeatured News

Bakal guru SOE raih 12 pingat di IRISE2026

Projek Tawaf-ProMax Tersenarai Top 5

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Siti Nazuar Sailin

SINTOK, 5 Februari 2026: Pelajar program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (PGDE) dan Sarjana Muda Pendidikan Teknologi Maklumat (BEd IT), Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) telah mencatatkan pencapaian membanggakan apabila berjaya merangkul lima pingat emas, lima pingat perak dan dua pingat gangsa dalam pertandingan inovasi International Research & Information Science Expo (IRISE2026).

Lebih membanggakan, projek Tawaf-ProMax turut terpilih sebagai penerima Top 5 Award  bagi kategori pelajar pengajian tinggi (sains sosial), sekali gus mengiktiraf kualiti serta impak inovasi yang dihasilkan oleh pelajar bakal guru SOE.

Pertandingan peringkat antarabangsa ini telah dianjurkan oleh Universiti Teknologi Mara Cawangan Kelantan dan turut disertai oleh peserta dari Malaysia, Thailand, Filipina, Indonesia dan Cameeroon. Daripada keseluruhan 498 peserta, 279 peserta adalah dari kategori pelajar pengajian tinggi.

Pendekatan Pembelajaran Berasaskan Projek dan Integrasi AI

Kejayaan ini merupakan hasil daripada projek tugasan akhir kursus SGDTK3043: Pembangunan Pengajaran Berasaskan Laman Web dan SGDT4112: Tren dan Inovasi dalam Pendidikan, yang direka bentuk secara autentik dan selari dengan Course Learning Outcomes (CLO) serta Programme Learning Outcomes (PLO) program pengajian, khususnya dalam pembangunan kemahiran digital dan keusahawanan pendidikan.

Projek-projek inovasi yang dipertandingkan merupakan hasil daripada pendekatan Pembelajaran Berasaskan Projek (Project-Based Learning, PjBL) yang diketengahkan oleh pensyarah, di mana pelajar berperanan aktif sebagai pereka bentuk pembelajaran, penyelesai masalah dan inovator pendidikan. Melalui pendekatan ini, pelajar dibimbing untuk mengenal pasti isu pembelajaran sebenar, merancang penyelesaian, membangunkan produk, serta menilai keberkesanan inovasi yang dihasilkan secara berterusan.

Selain itu, pelajar turut dibimbing untuk mengintegrasikan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) secara beretika dan bertujuan dalam proses pembangunan bahan pembelajaran. Penggunaan AI menyokong pelajar dalam aspek penjanaan idea reka bentuk, pembangunan kandungan, visualisasi, reka bentuk interaksi, serta penghasilan bahan promosi seperti video dan poster digital. Pendekatan ini membolehkan bakal guru menghasilkan bahan pembelajaran yang lebih menarik, interaktif dan relevan dengan keperluan pendidikan masa kini.

Fokus Pembangunan Inovasi Pendidikan

Bagi kursus SGDTK3043, pelajar memberi tumpuan kepada pembangunan laman pembelajaran berkonsep micro-learning yang memfokuskan kepada topik Asas Sains Komputer di peringkat sekolah menengah rendah, khususnya bagi menangani kandungan pembelajaran yang bersifat kompleks. Inovasi yang dihasilkan menekankan reka bentuk kandungan yang modular, ringkas, mesra pengguna dan mudah diakses, sekali gus menyokong pembelajaran kendiri pelajar. Projek-projek ini mengetengahkan solusi berbentuk laman web interaktif dengan elemen gamifikasi dan pendekatan pembelajaran berbentuk penerokaan.

Bagi kursus SGDT4112, pelajar membangunkan bahan pembelajaran digital dan interaktif bagi menyelesaikan isu atau masalah pembelajaran semasa. Skop inovasi bagi kursus ini adalah lebih luas dan bergantung kepada konteks serta minat pelajar, merangkumi pelbagai bidang dan keperluan pembelajaran. Sebahagian besar projek dibangunkan dalam bentuk aplikasi mobil, sejajar dengan tren teknologi digital semasa.

Sebagai contoh, aplikasi Tawaf-ProMax dibangunkan dengan mengintegrasikan teknologi Augmented Reality (AR) dan AI bagi menyediakan simulasi tawaf yang interaktif dan realistik. Pembangunan aplikasi ini berasaskan model reka bentuk ADDIE dan teori konstruktivisme serta menampilkan visualisasi Kaabah dalam bentuk 3D, panduan langkah demi langkah, bimbingan AI Mutawif, serta kuiz pelbagai bahasa. Penilaian terhadap produk menunjukkan peningkatan tahap kefahaman, keyakinan dan kepuasan pengguna, menjadikan Tawaf-ProMax berpotensi sebagai alat bantu pengajaran yang berkesan dalam pendidikan Islam dan persediaan ibadah umrah.

Selain pembangunan produk inovasi, pelajar turut menghasilkan video dan poster digital bagi memperkenalkan produk kepada khalayak sasaran dan sebagai bahan pitching pertandingan, seiring dengan keperluan tugasan kursus. Aktiviti ini menyokong pencapaian Learning Outcome Domain (LOD) bagi kedua-dua kursus iaitu dalam aspek kemahiran digital dan keusahawanan, serta sejajar dengan aspirasi melahirkan graduan dan pendidik masa depan yang holistik dan berdaya saing.

Nilai Tambah kepada Pengalaman Pembelajaran Pelajar

Pensyarah Kursus SGDTK3043 dan SGDT4112, Prof. Madya Dr. Siti Nazuar Sailin berkata, kejayaan ini adalah hasil kreativiti dan kolaborasi aktif pelajar dalam persekitaran pembelajaran yang autentik.

“Pendekatan pembelajaran berasaskan projek memberi ruang kepada pelajar untuk berinovasi secara bermakna. Apabila idea digabungkan dengan penggunaan teknologi AI secara berfokus, pelajar bukan sahaja mampu menghasilkan produk yang kreatif dan inovatif, malah menjadi lebih yakin, reflektif serta bersedia menghadapi cabaran pendidikan digital masa hadapan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa penyertaan dalam pertandingan inovasi peringkat antarabangsa secara digital seperti IRISE2026 memberi pendedahan awal kepada budaya inovasi, keusahawanan pendidikan dan pemikiran reka bentuk yang penting dalam melahirkan pendidik tersedia masa hadapan.

Refleksi Pelajar

Penglibatan dalam projek inovasi melalui pendekatan Pembelajaran Berasaskan Projek (PjBL) memberi pengalaman pembelajaran yang mendalam kepada pelajar. Melalui proses perancangan, pembangunan dan penilaian produk, pelajar berpeluang membuat refleksi terhadap perkembangan kendiri sebagai bakal pendidik. Refleksi ini menunjukkan peningkatan kesedaran pelajar terhadap kepentingan inovasi, penguasaan teknologi digital dan AI, serta nilai kolaborasi, daya tahan dan pembelajaran berterusan dalam menghadapi cabaran pendidikan masa hadapan.

Salah seorang ahli kumpulan bagi projek Tawaf-ProMax, Ahmad Akhyar Zainol Abidin berkata, projek ini membantunya menyedari bahawa sebagai bakal guru perlu terbuka terhadap inovasi, bersikap fleksibel dan bersedia mempelajari teknologi baharu.

“Saya juga mengenal pasti kekuatan diri dari segi kreativiti, kerja berpasukan dan penerokaan digital, namun pada masa yang sama menyedari keperluan untuk menambah baik kemahiran teknikal serta reka bentuk pengajaran,” katanya.

Selain itu, ahli bagi projek NeoData World, Muhammad Aizad Fikri berkata, melalui proses ini, dia turut mempelajari bahawa kejayaan sesuatu inovasi yang kompleks bergantung kepada sinergi dan daya tahan pasukan.

Menurutnya, versi akhir laman web kumpulan yang dihasilkan bersama jauh lebih berkualiti berbanding apa yang mampu dia bangunkan secara bersendirian.

“Pengalaman ini mengajar saya bahawa konflik dalam kumpulan bukanlah tanda kegagalan, sebaliknya petunjuk bahawa setiap ahli benar-benar mengambil berat tentang hasil projek,” katanya.

Pelajar mobiliti dari Indonesia yang mengikuti kursus SGDTK3043, Nanang Satrio Rinjani berkongsi bahawa pada peringkat awal projek, dia berdepan cabaran dalam mengurus dinamika kumpulan dan memastikan komunikasi yang berkesan antara ahli pasukan yang mempunyai gaya kerja berbeza, walau bagaimanapun, dia mengakui pengalaman tersebut menjadi satu pengalaman bermakna.

“Saya mempelajari bahawa kejayaan sesuatu projek bukan hanya bergantung kepada penyelesaian teknikal, tetapi turut ditentukan oleh rasa tanggungjawab bersama dalam kalangan ahli pasukan.

“Pada peringkat akhir projek, saya mengambil peranan sebagai penyampai untuk persembahan video dan ianya mencabar kerana perlu bercakap Bahasa Melayu sepenuhnya, namun dengan sokongan dan kerjasama ahli kumpulan, video tersebut berjaya menambat hati juri dan projek NeoData Word kumpulan kami beroleh pingat emas,” katanya.

Kejayaan ini mengukuhkan komitmen Pusat Pengajian Pendidikan dalam melahirkan graduan pendidik yang inovatif, celik teknologi dan berupaya memanfaatkan AI secara bermakna, sejajar dengan agenda transformasi pendidikan digital di peringkat nasional dan global.

Dekan Pusat Pengajian Pendidikan, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman berkata, pencapaian ini mencerminkan keberkesanan pendekatan pembelajaran aktif berpusatkan pelajar serta kesediaan ahli akademik dan bakal guru meneroka penggunaan teknologi terkini dalam pendidikan.

“Kejayaan pelajar bakal guru SOE di IRISE2026 membuktikan bahawa pendekatan pembelajaran berasaskan projek yang dirancang secara sistematik mampu melahirkan inovasi yang berkualiti dan relevan.

“Integrasi teknologi digital dan AI secara beretika turut memberi nilai tambah yang signifikan kepada pengalaman pembelajaran pelajar,” katanya.

Senarai Pemenang

Pingat Emas (5)

  1. Tawaf-ProMax – Top 5 Award (SGDT4112)
  2. Aksara E-Jawi Explorer (SGDT4112)
  3. Neo Data World (SGDTK3043)
  4. LinearQuest (SGDT4112)
  5. PseudoChart (SGDTK3043)

Pingat Perak (5)

  1. Monopoli Tatabahasa Kampung Melayu (SGDT4112)
  2. CodeSmart (SGDTK3043)
  3. ClueQuest Classroom (SGDT4112)
  4. MathVenture: Jutaria Challenge (SGDT4112)
  5. Rimba Run: Peribahasa (SGDT4112)

Pingat Gangsa (2)

  1. Bit Explorer (SGDTK3043)
  2. eLearn+ (SGDTK3043)

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button