Education

UUM, Badan Peguam Malaysia meterai MoU perkasa pembangunan Pendidikan Undang-undang

Gambar oleh Shamsaimi Ezil

SINTOK, 10 Februari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Badan Peguam Malaysia bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan akademik, profesionalisme serta kompetensi pelajar undang-undang.

Majlis menandatangani MoU tersebut berlangsung di Bilik Sri Mersawa, EDC-UUM dan disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, serta Yang Dipertua Badan Peguam Malaysia, Datuk Mohamad Ezri Abdul Wahab.

Dalam ucapannya, Prof. Martadha berkata, kerjasama strategik yang terjalin ini membuka ruang kerjasama yang lebih tersusun dan berterusan antara kedua-dua institusi, khususnya melalui Pusat Pengajian Undang-undang (SoL), UUM.

“MoU berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan akademik, pendedahan profesional dan pembinaan kompetensi pelajar undang-undang agar mereka lebih bersedia menghadapi realiti profesion guaman yang semakin mencabar, sekali gus memberikan impak positif kepada pelajar dan pensyarah UUM” katanya.

Selain itu, UUM yakin usaha bersama ini akan menyumbang secara signifikan ke arah pembentukan graduan undang-undang yang holistik, celik teknologi, beretika serta bersedia menghadapi cabaran profesion guaman masa kini dan masa hadapan.

Sementara itu, Yang Dipertua Badan Peguam Malaysia, Datuk Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, kerjasama strategik ini berupaya meningkatkan kualiti graduan undang-undang daripada universiti tempatan agar lebih berdaya saing dan setanding, malah berpotensi mengatasi graduan dari institusi luar negara.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada UUM atas kejayaan melahirkan graduan undang-undang yang berkualiti dan berintegriti.

Turut hadir ialah Penolong Naib Canselor merangkap Dekan Pusat Pengajian Undang-undang UUM, Profesor Dr. Harlida Abdul Wahab; Setiausaha Badan Peguam Malaysia, Puan Murshidah Mustafa; ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti serta pegawai-pegawai kanan Badan Peguam Malaysia dan UUM.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button