Campus
Karisma pemikir madani perkasa kepimpinan tertinggi UUM
Gambar oleh Hairul Nizam Zahari
ALOR SETAR, 11 Februari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh kepimpinan institusi menerusi penganjuran Program Karisma Pemikir Madani: Kepimpinan Tertinggi Universiti Utara Malaysia yang berlangsung di Ballroom, Hotel Grand Alora, di sini, hari ini.
Program berprestij itu menampilkan sesi dialog bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang menekankan kepentingan membina universiti beridentiti kukuh, mempunyai kekuatan tersendiri dan dipacu kepimpinan strategik selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

Beliau menegaskan bahawa kecemerlangan sesebuah universiti lahir daripada kepimpinan yang jelas hala tuju, budaya kerja berintegriti serta kesatuan warga institusi dalam mendepani cabaran semasa.
Penganjuran program ini merupakan hasil kerjasama antara Pejabat Perdana Menteri melalui Akademi Kenegaraan Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi dan UUM.
Program tersebut bertujuan memperkasa barisan kepimpinan tertinggi universiti agar lebih berwawasan, berintegriti dan berdaya saing dalam landskap pendidikan tinggi yang semakin kompleks serta mencabar.
Dalam sesi dialog itu, beliau turut menekankan bahawa setiap cabaran perlu ditangani secara matang melalui perbincangan dan muafakat bersama, bukannya polemik yang boleh melemahkan institusi.

Pendekatan kebersamaan, kejujuran dalam bekerja serta tindakan yang konsisten, katanya, menjadi asas penting dalam membina universiti yang kukuh dan diyakini masyarakat.
Beliau juga menyeru agar warga universiti terus menerapkan budaya saling membantu, hormat-menghormati dan memperkukuh semangat berpasukan demi memastikan institusi kekal utuh serta berdaya saing.

Tegasnya, kekuatan sesebuah universiti bukan sahaja terletak pada struktur dan dasar, tetapi juga pada nilai kebersamaan dan kesatuan hati warganya.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UUM, Tan Sri Dr. Mazlan Yusoff; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Pengarah Bahagian Kepimpinan Negara, Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Mohd Khailani Ismail serta barisan kepimpinan tertinggi universiti.


