Campus

UUM perkukuh budaya kualiti melalui Bengkel Audit Kendiri MS ISO 9001:2015

Gambar oleh PPQA

SINTOK, 11 Februari 2026:Pusat Pengurusan Kualiti dan Akreditasi (PPQA) telah menganjurkan Bengkel Persediaan Menjalankan Audit Kendiri MS ISO 9001:2015 bagi Pusat Pengajian (PP) dan Pusat Tanggungjawab (PTJ) bertempat di Future Learning Lab (FLL), UTLC.

Bengkel ini dilaksanakan dalam dua sesi, iaitu sesi pagi yang melibatkan Pusat Pengajian (PP) dan sesi petang yang melibatkan Pusat Tanggungjawab (PTJ).

Penganjuran bengkel ini bertujuan meningkatkan kefahaman terhadap keperluan dan klausa MS ISO 9001:2015 serta untuk memastikan penyediaan laporan audit kendiri dilaksanakan secara lebih sistematik dan selaras dengan garis panduan yang ditetapkan.

Bengkel ini melibatkan penyertaan seramai 63 orang staf daripada PTJ dan PP. Setiap PTJ dan PP diwakili oleh dua (2) orang Juruaudit Audit Kendiri (APTJ) bagi memastikan penyelarasan pelaksanaan audit kendiri dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan di seluruh universiti.

Program sehari ini dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Ku Maisurah binti Ku Bahador, Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Kualiti PPQA.

Dalam sesi perkongsian, Dr. Ku Maisurah menegaskan bahawa audit kendiri bukan sekadar memenuhi keperluan dokumentasi atau persediaan menghadapi audit luaran, sebaliknya merupakan mekanisme penting untuk menilai keberkesanan sistem pengurusan kualiti secara menyeluruh.

Beliau turut menekankan bahawa juruaudit kendiri perlu memiliki kemahiran komunikasi yang baik serta pendekatan profesional semasa menjalankan temu bual dan pemerhatian proses kerja.

“Kompetensi juruaudit bukan hanya pada kefahaman klausa ISO, tetapi juga pada keupayaan menilai bukti secara objektif dan membuat kesimpulan berdasarkan fakta, bukan persepsi.” katanya.

Tambah beliau lagi, penyediaan laporan audit hendaklah jelas, tepat dan disokong bukti yang mencukupi bagi memastikan tindakan pembetulan dapat dilaksanakan secara efektif.

Bengkel ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam meningkatkan kesiapsiagaan universiti menghadapi Audit Kualiti Dalaman serta Audit Pemantauan dari SIRIM QAS.

Penganjuran bengkel ini membuktikan komitmen berterusan UUM dalam memastikan pelaksanaan sistem pengurusan kualiti yang mampan, seragam dan memenuhi keperluan standard MS ISO 9001:2015. – Siti Hajar Mat Isa

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button