Semangat kekeluargaan mekar dalam program kacau bubur lambuk INAPAN Siswa Laluan A
Berita dan gambar oleh Dr Mohd Abidzar Zainol Abidin
SINTOK, 23 Februari 2026: Suasana penuh kemeriahan dan semangat kebersamaan mewarnai Program Kacau Bubur Lambuk Inapan Siswa (INASIS) Laluan A yang melibatkan INASIS Proton, MAS, TNB dan Tradewind, dengan kerjasama staf UPSB, bertempat di Dapur Rahmah, Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini.

Program berteraskan tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah Hal Ehwal Pelajar (HEP) itu menyaksikan penglibatan menyeluruh Pengetua, Felo serta staf pentadbiran INASIS Proton, MAS, TNB dan Tradewind, selain sokongan padu staf UPSB, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan serta budaya kerja berpasukan yang utuh dalam kalangan warga INASIS di Laluan A.
Seawal pagi, suasana di Dapur Rahmah Pusat Islam UUM mula meriah dengan aktiviti gotong-royong apabila para peserta bergilir-gilir mengacau bubur lambuk dalam kawah besar. Kerjasama erat antara warga INASIS dan staf UPSB jelas terserlah apabila masing-masing memainkan peranan dalam memastikan proses penyediaan bubur lambuk berjalan lancar dan teratur.

Menurut penganjur, bubur lambuk yang dimasak secara bersama itu akan diagihkan kepada beberapa Pusat Tanggungjawab (PTJ) di bawah HEP, sebagai tanda keprihatinan dan perkongsian rezeki, selari dengan nilai kesukarelawanan serta budaya prihatin yang diterapkan di peringkat universiti.
“Program ini bukan sekadar menghidupkan tradisi bubur lambuk, malah menjadi platform memperkukuh jaringan kerjasama antara pengurusan INASIS, staf sokongan dan komuniti kampus dalam menjayakan agenda kebajikan,” katanya.

Tambahnya, penglibatan langsung barisan pengurusan, felo, staf pentadbiran serta staf UPSB memberi contoh teladan yang baik kepada pelajar mengenai nilai kerja berpasukan, keikhlasan berkhidmat dan semangat sukarelawan.
Program Kacau Bubur Lambuk INASIS Laluan A ini diharapkan dapat diteruskan kepada INASIS laluan lain sebagai agenda tahunan, sekali gus memperkukuh peranan INASIS sebagai pemangkin aktiviti kemasyarakatan serta menyemarakkan amalan CSR dalam kalangan warga Universiti Utara Malaysia.



