Campus

SK Dato’ Syed Nahar muncul johan pertandingan pembinaan bandar STEM

Gambar oleh Dr. Rosmaini bt Kashim dan Zamalik Hassan

SINTOK, 10 Februari 2026: Para pelajar Sekolah Kebangsaan Dato’ Syed Nahar (SKDSN) telah mengharumkan nama sekolah apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan pertandingan pembinaan bandar STEM bagi Program Battle of STEM: Structural Design Competition 2026 yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM) lepas. 

Kejayaan ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan bagi seluruh warga sekolah.

Seramai 50 orang pelajar telah terlibat dalam program ini yang diketuai oleh Guru Besar, Tn. Hj. Sharinnizam bin Dun serta 6 orang guru pengiring.

Program anjuran Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), UUM ini merupakan kemuncak kepada siri program STI 1003 yang bertujuan untuk memupuk pemikiran kritis, kreativiti, dan kemahiran penyelesaian masalah dalam kalangan pelajar melalui aktiviti sains dan teknologi.

Sebelum ini, dua aktiviti awal telah berjaya dijalankan di peringkat sekolah yang dikendalikan oleh barisan pensyarah SQS iaitu Dr. Nur Azulia Kamarudin, Prof. Madya Dr. Sharmila Karim, Dr. Mohd Azri Pawan Teh, Dr. Nor Hisham Haron dan Dr. Rosmaini Kashim.

Pertandingan yang bermula seawal jam 10:30 pagi itu menyaksikan para peserta bertungkus-lumus membina struktur unik menggunakan bahan-bahan yang disediakan.

Para pelajar SKDSN berjaya membina sebuah struktur rangka yang kompleks dan stabil, menunjukkan kefahaman dalam konsep kejuruteraan asas dan reka bentuk struktur.

Kemuncak program adalah majlis penutup dan penyampaian hadiah yang menyaksikan suasana dewan dipenuhi sorakan kegembiraan apabila nama SKDSN diumumkan sebagai pemenang. Kemenangan ini membuktikan bahawa usaha gigih murid-murid dan bimbingan guru-guru membuahkan hasil yang membanggakan.

Selain daripada aktiviti pertandingan, para pelajar turut berpeluang mengikuti sesi lawatan sekitar kampus UUM. Antara destinasi utama dalam lawatan tersebut ialah Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) UUM.

Di sana, para pelajar didedahkan dengan kemudahan prasarana universiti serta sumber rujukan yang luas, yang bertujuan memberikan inspirasi kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading suatu hari nanti.

Tn. Hj. Sharinnizam Dun, menzahirkan rasa syukur dan bangga atas kesungguhan para pelajarnya. Menurut beliau, kemenangan ini bukan sekadar tentang piala, tetapi tentang proses pembelajaran yang dilalui oleh murid-murid.

Beliau berharap agar pendedahan sebegini dapat terus menyuntik minat pelajar terhadap bidang sains dan matematik, serta membina keyakinan diri mereka untuk berhadapan dengan cabaran di masa hadapan.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif memperkukuh kerjasama strategik antara UUM dan sekolah menerusi pemindahan ilmu pakar akademik kepada komuniti sekolah bagi melahirkan generasi muda yang celik STEM dan kompetitif. – Dr. Nur Azulia Kamarudin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button