UTLC perkasa budaya penyelidikan pengajaran menerusi siri 2 promosi Geran SoTL
Gambar oleh: Nursyauqina binti Lokman
SINTOK, 31 Mac 2026: Pusat Pengajaran dan Pembelajaran Universiti (UTLC), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh agenda pembudayaan penyelidikan dalam pendidikan apabila berjaya menganjurkan SoTL Workshop: Crafting a Winning SoTL Grant Proposal secara dalam talian pada 31 Mac 2026.

Program yang disertai oleh 105 orang peserta dalam kalangan ahli akademik dan warga universiti itu merupakan siri kedua bagi program promosi Geran Scholarship of Teaching and Learning (SoTL) anjuran UTLC. Penganjuran bengkel ini menjadi sebahagian daripada usaha berterusan universiti untuk memperluas pemahaman warga akademik terhadap kepentingan penyelidikan berasaskan pengajaran dan pembelajaran di peringkat pengajian tinggi.
Bengkel tersebut telah dikendalikan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Subashini A/P Annamalai, yang berkongsi panduan menyeluruh berkaitan komponen asas dan kerangka penting dalam menghasilkan cadangan geran SoTL yang berkualiti dan berdaya saing.
Antara pengisian utama yang diketengahkan termasuk pengenalan kepada konsep Scholarship of Teaching and Learning, pembinaan pernyataan masalah, pengenalpastian insiden kritikal dalam pengajaran, pembentukan soalan kajian, pemilihan reka bentuk penyelidikan yang sesuai, kaedah pengumpulan data, serta strategi refleksi dan diseminasi.
Melalui bengkel ini, para peserta didedahkan kepada kepentingan SoTL sebagai pendekatan penyelidikan yang sistematik dan berasaskan bukti dalam menilai serta menambah baik amalan pengajaran.

Inisiatif ini juga selari dengan hasrat UTLC untuk menyemarakkan budaya penyelidikan dalam pendidikan dalam kalangan ahli akademik UUM agar pengajaran di universiti terus diperkasa secara lebih reflektif, inovatif dan berimpak tinggi.
Seiring dengan penganjuran program ini, permohonan Geran SoTL UUM kini telah dibuka bermula 1 April hingga 30 April 2026. Hebahan pembukaan geran ini diharap dapat memberi peluang kepada lebih ramai pensyarah untuk mengemukakan cadangan penyelidikan yang memfokuskan kepada penambahbaikan amalan pengajaran dan pembelajaran, seterusnya menyumbang kepada peningkatan kualiti pengalaman pembelajaran pelajar di universiti.
UTLC berharap agar inisiatif seperti ini akan terus menjadi pemangkin kepada pengukuhan ekosistem penyelidikan pendidikan di UUM, sekali gus membudayakan amalan pengajaran berasaskan penyelidikan dalam kalangan warga akademik.- Dr. Muhamad Abrar bin Bahaman



