Campus

Hubungan SOL dan kehakiman diperkukuh: Delegasi UUM kunjungi Hakim Besar Malaya

Berita dan Gambar oleh: Prof. Madya Dr. Nor Anita Abdullah

PUTRAJAYA,  3 April 2026: Delegasi daripada Pusat Pengajian Undang-Undang (SoL), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan satu kunjungan hormat ke atas Yang Amat Arif Datuk Seri Hashim Hamzah di Pejabat beliau yang terletak di Istana Kehakiman.

Delegasi tersebut diketuai oleh Dekan SoL, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab yang juga selaku Penolong Naib Canselor Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS).

Dalam sesi kunjungan tersebut, pihak delegasi telah merakamkan penghargaan atas kesudian Datuk Seri Hashim menerima kunjungan hormat serta berkongsi pandangan berkaitan profesion perundangan di Malaysia.

Datuk Seri Hashim mempunyai hubungan yang rapat dengan Pusat Pengajian Undang-Undang UUM kerana komitmen berterusan beliau dalam menyokong pembangunan program pelajar, khususnya ketika beliau berkhidmat di Kedah sebelum dilantik dan dinaikkan pangkat sebagai Hakim Besar Malaya yang kini berpusat di Putrajaya.

Sesi perbincangan turut menyentuh aspek pembangunan pelajar undang-undang, khususnya dalam mempersiapkan graduan yang bakal memasuki alam pekerjaan. Dalam kesempatan itu, Dekan Pusat Pengajian Undang-Undang UUM telah menjemput Datuk Seri Hashim untuk menyampaikan syarahan perkongsian kepada pelajar tahun akhir yang bakal bergraduasi.

Syarahan tersebut dicadangkan memberi fokus kepada realiti profesion guaman, sama ada sebagai seorang peguam mahupun pegawai pendakwa raya.

Beliau turut menekankan bahawa adab, etika, dan profesionalisme merupakan tunjang utama dalam membentuk seorang pengamal undang-undang yang berintegriti.

Beliau menegaskan bahawa selain penguasaan ilmu, sikap dan nilai diri memainkan peranan penting dalam menentukan kredibiliti seseorang dalam profesion ini.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar institusi pengajian tinggi terus memperkukuh elemen pembentukan sahsiah dan etika profesional dalam kalangan pelajar, khususnya bagi mereka yang bakal menceburi bidang guaman dan perkhidmatan pendakwaan.

Kunjungan hormat ini mencerminkan komitmen berterusan pihak universiti dalam menjalin hubungan erat dengan institusi kehakiman serta memperkasa pembangunan pelajar undang-undang agar lebih bersedia menghadapi cabaran dunia profesional.

Turut hadir ialah Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Nor Anita Abdullah; Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Madya Dr. Haslinda Mohd. Anuar; serta Pensyarah, Prof. Madya Dr. Zuryati Mohamed Yusoff, .

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button