UBA perkasakan silibus melalui Bengkel Alternatif dan Penjajaran Konstruktif
Gambar Ahmad Laqis Nurun Ihsan
SINTOK, 14 April 2026: Unit Bahasa Antarabangsa (UBA), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Alternatif dan Penjajaran Konstruktif dalam Pembinaan Silibus yang berlangsung di EDC-UUM, baru-baru ini.
Program ini bertujuan menyemak semula struktur silibus sedia ada bagi memastikan sistem pengajaran dan penilaian pelajar kekal relevan dengan keperluan pendidikan tinggi semasa.

Dua pakar akademik dari Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), iaitu Prof. Madya Ts. Dr. Izwan Nizal Mohd Shaharanee dan Prof. Madya Dr. Nurliyana Bukhari hadir sebagai penceramah jemputan untuk berkongsi kepakaran dalam bidang masing-masing.
Dalam bengkel ini, topik Penjajaran Konstruktif (Constructive Alignment) telah dikendalikan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Izwan Nizal, manakala topik Penilaian Alternatif dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Nurliyana.
Kedua-dua topik ini menekankan kepentingan penyelarasan hasil pembelajaran kursus (CLO) dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta kaedah penilaian. Selain itu, bengkel ini turut membincangkan transformasi daripada kaedah penilaian tradisional kepada integrasi Kecerdasan Buatan (AI) dalam PdP, bagi mengukur kebolehan bahasa pelajar secara lebih inovatif dan holistik.

Pengarah program, Nasrol Hadi Ahmad Shukeri berkata, bengkel ini merupakan satu langkah penting ke arah mentransformasikan pendekatan akademik unit tersebut.
“Bengkel ini amat penting bagi memastikan silibus bahasa antarabangsa di UUM sentiasa dinamik. Kita ingin beralih daripada kaedah konvensional kepada sistem yang lebih holistik.
“Persediaan ini bukan sekadar memenuhi kriteria akademik, tetapi juga untuk memastikan pelajar benar-benar menguasai bahasa dengan kemahiran berfikir aras tinggi,” katanya.
Melalui sesi perbincangan intensif ini, staf akademik UBA berpeluang mendapat maklum balas langsung daripada pakar untuk menambah baik silibus bahasa masing-masing.
Inisiatif ini bukan sahaja memperkasakan kualiti pengajaran, malah menyokong aspirasi UUM untuk melahirkan graduan yang kompeten secara global dan versatil dalam pelbagai bahasa antarabangsa, seterusnya mengukuhkan kedudukan UUM sebagai universiti pengurusan terkemuka dunia. – Zeety Kartini Abdul Hamid



