DOSH – UUM rancang kerjasama anjur Festival Kesihatan Pekerjaan berimpak tinggi
Gambar oleh: Bahagian Pengurusan Risiko
SINTOK, 15 April 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Bahagian Pengurusan Risiko (RMD) menerima kunjungan daripada delegasi Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kedah (DOSH Kedah) bagi membincangkan cadangan penganjuran Festival Kesihatan Pekerjaan di kampus ini.
Delegasi tersebut diketuai oleh Pegawai Perubatan merangkap Ketua Seksyen Kesihatan Pekerjaan jabatan berkenaan, Dr. Mohd Shamirul Ahmad.
Turut hadir ialah Ketua Jururawat, Amelia Abdul Samin serta Ketua Seksyen Analisis dan Pemprosesan, Mohd Hafizi Abdullah.

Sesi perbincangan yang dipengerusikan oleh Pengarah RMD, Prof. Madya Dr. Rohana Abdul Rahman itu memberi fokus kepada pelaksanaan Festival Kesihatan Pekerjaan 2026 sebagai platform berimpak tinggi untuk meningkatkan kesedaran serta memperkukuh amalan terbaik dalam keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).
Inisiatif ini dilihat selari dengan aspirasi Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (OSHMP 30) serta nilai Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan pekerja sebagai teras pembangunan negara.
Festival tersebut dicadangkan untuk dilaksanakan sekitar September 2026 dengan sasaran penyertaan melibatkan pelajar, agensi kerajaan, pemain industri serta komuniti setempat. Penganjuran ini dijangka menjadi platform penting dalam memperkukuh budaya kerja selamat dan sihat, di samping menggalakkan perkongsian ilmu serta amalan terbaik dalam bidang KKP.
Festival Kesihatan Pekerjaan ini dirangka sebagai platform pemerkasaan holistik yang memfokuskan kepada pembangunan perkhidmatan kesihatan pekerjaan melalui pendekatan bersepadu melibatkan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pengamal KKP dan komuniti.
Program ini dijangka menghimpunkan sekitar 2,500 pengunjung dengan pelaksanaan empat tonggak utama iaitu Seminar Kesihatan Pekerjaan yang menekankan aspek akademik dan aplikasi industri, ‘OH Got Talent!’ yang berteraskan kreativiti serta pendidikan awal KKP, “First Aid Battle’ yang menguji kompetensi dan respons kecemasan, serta ‘Run for Safety’ yang mengintegrasikan elemen kecergasan dan penglibatan komuniti.
Selain itu, kandungan seminar turut merangkumi isu-isu kritikal seperti psikososial di tempat kerja, ergonomik, penyakit pekerjaan termasuk penyakit paru-paru, serta pengurusan HIV/AIDS di tempat kerja bagi memastikan pendekatan KKP yang lebih menyeluruh dan relevan dengan keperluan semasa.

Dr Shamirul turut melahirkan keyakinan terhadap potensi kerjasama ini berdasarkan kejayaan penganjuran program OSH Week pada tahun lalu, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan pihak JKKP dalam memperluas impak program KKP di peringkat institusi pendidikan tinggi.
Pihak UUM melalui RMD menyambut baik cadangan tersebut dan komited untuk meneliti serta memperhalusi bentuk kerjasama yang bersesuaian bagi memastikan pelaksanaan program dapat memberi manfaat optimum kepada semua pihak terlibat.
Menurut Prof. Madya Dr. Rohana Abdul Rahman, “Usaha ini sejajar dengan peranan universiti sebagai institusi yang bukan sahaja menumpukan kepada kecemerlangan akademik, malah turut menyumbang kepada pembangunan komuniti.”
Kunjungan ini diharapkan menjadi pemangkin kepada hubungan kerjasama yang lebih erat antara UUM dan JKKP, sekali gus membuka ruang kepada pelaksanaan program-program berimpak tinggi pada masa hadapan dalam memperkukuh agenda keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini. – Nurulwajhi Yahaya



