Campus

Bengkel EmpowerHER perkasa potensi wanita sebagai usahawan komuniti

Berita dan gambar Dr. Noor Hanis Zainol Abidin

SINTOK, 20 April 2026: Pusat Pengajian Kerajaan (School of Government), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel EmpowerHER: Keluarkan Potensi Diri sebagai Usahawan Wanita bertempat di Bilik Seminar SoG, sebagai satu inisiatif pemerkasaan wanita ke arah pembangunan komuniti yang lebih berdaya tahan, yakin dan berpotensi dalam bidang keusahawanan.

Program ini dianjurkan di bawah Geran Inovasi Sosial (SIGS) melalui Projek Geng Viral Kampung.

Bengkel ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkasa wanita, khususnya dalam kalangan komuniti desa dan luar bandar, agar lebih bersedia menghadapi cabaran ekonomi semasa melalui pembangunan potensi diri, pembinaan keyakinan dan pendedahan kepada elemen keusahawanan.

Selari dengan aspirasi projek “Geng Viral Kampung: Pemerkasaan Digital Wanita sebagai Pemacu Pembangunan Komuniti Desa di Bukit Kayu Hitam, Kedah”, program ini memberi penekanan kepada pembangunan kapasiti wanita sebagai agen perubahan dalam komuniti melalui kekuatan personaliti, motivasi dan keupayaan untuk bergerak aktif dalam ekonomi digital.

Program yang berlangsung dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang ini menampilkan Kapten P.A Serina Datuk Redzuawan sebagai penceramah jemputan, yang berkongsi inspirasi, pengalaman dan panduan kepada peserta dalam mengenali potensi diri, membina jati diri yang kukuh, serta meningkatkan keberanian untuk melangkah sebagai usahawan wanita.

Kehadiran penceramah berpengalaman ini telah memberi nilai tambah yang besar kepada pengisian bengkel, khususnya dalam membina motivasi dan semangat peserta untuk keluar daripada zon selesa serta melihat diri mereka sebagai individu yang mampu berjaya dalam dunia perniagaan.

Sepanjang bengkel berlangsung, peserta telah mengikuti beberapa slot utama termasuk sesi pengenalan, slot kenali potensi diri, serta aktiviti interaktif bersama penceramah yang dirangka secara tersusun untuk membantu peserta memahami kekuatan diri dan membina keyakinan untuk berkembang. Pendekatan ini amat penting kerana keusahawanan bukan sekadar berkaitan jualan atau produk, tetapi turut melibatkan pembentukan minda, sikap, identiti dan ketahanan emosi seseorang wanita dalam menghadapi cabaran kehidupan dan perniagaan.

Melalui pelaksanaan bengkel ini, peserta bukan sahaja diberi ruang untuk meningkatkan kefahaman tentang potensi diri, malah turut didorong untuk lebih bersedia membantu memasarkan produk komuniti, menghasilkan kandungan media sosial yang lebih menarik, dan membina keyakinan untuk menyertai ekosistem keusahawanan digital.

Usaha ini selaras dengan matlamat geran untuk memperkukuh pembangunan komuniti melalui penglibatan wanita secara lebih aktif dan berimpak dalam aktiviti ekonomi setempat.

Penganjuran Bengkel EmpowerHER mencerminkan komitmen universiti dalam menghubungkan ilmu, latihan dan pembangunan komuniti secara holistik. Program seperti ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai wanita yang berani menyerlahkan potensi diri, membina keyakinan dan melangkah ke hadapan sebagai usahawan yang bukan sahaja mampu menjana pendapatan, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan keluarga dan pembangunan sosioekonomi komuniti.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button