Program Bakti Siswa: Inasis Bank Islam, Proton dan AKM santuni komuniti Kensui
Gambar Unit Media Program Bakti Siswa
BALING, 22 April 2026: Seramai 70 pelajar daripada Inapan Siswa (Inasis) Bank Islam dan Inasis Proton dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) telah menjayakan Program Bakti Siswa di Perkampungan Orang Asli Kensui, semalam.
Misi kemanusiaan ini bertujuan untuk memperkukuhkan semangat kesukarelawanan serta merapatkan ukhuwah antara warga universiti dengan masyarakat pribumi menerusi pelbagai pengisian kebajikan dan pendidikan.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Akademi Kenegaraan Negeri Kedah, Mohd Saiful Md Desa yang merupakan alumni Universiti Utara Malaysia (UUM).
Mohd Saiful menzahirkan rasa bangga melihat komitmen pelajar dalam menyumbang bakti kepada masyarakat pedalaman.
Kehadiran agensi-agensi utama turut memperkukuhkan lagi kelancaran program ini yang melibatkan kerjasama daripada Event Management Training, Research and Consultancy (EMTRAC), UUM, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), serta Penggerak Masyarakat JAKIM.
Pengarah Program, Muhammad Azam Nazri berkata, sepanjang program berlangsung, pelajar telah menggerakkan aktiviti teras termasuklah agihan sumbangan barangan dapur dan pakaian bagi meringankan beban harian penduduk setempat.

Selain itu, menurutnya, aspek pendidikan turut diberi penekanan menerusi penganjuran kelas Bahasa Inggeris secara interaktif untuk anak-anak suku Kensui bagi memupuk minat mereka terhadap bahasa global tersebut.
Di samping fokus utama terhadap khidmat bakti, pelajar yang terlibat juga berpeluang menimba pengalaman sampingan dengan mengenali kearifan lokal serta tradisi unik yang diamalkan oleh masyarakat Orang Asli. Pengalaman ini memberi nilai tambah kepada para pelajar dalam memahami kepelbagaian budaya dan cara hidup masyarakat pedalaman di Malaysia.
Sinergi antara pihak Inasis, AKM, dan penglibatan pelbagai agensi strategik ini membuktikan komitmen berterusan dalam memastikan kebajikan serta pendidikan masyarakat Orang Asli sentiasa diberikan perhatian sewajarnya.
Program yang berakhir lewat petang semalam itu bukan sahaja berjaya mencapai objektif kebajikannya, malah meninggalkan impak positif dalam pembentukan jati diri mahasiswa yang lebih peka terhadap realiti masyarakat. – Dr. Adi Syahid bin Mohd Ali



