SOG dan JPKKP Kampung Lahar teroka kerjasama program komuniti
Berita dan gambar Dr. Noor Hanis Zainol Abidin
SINTOK, 2 Jun 2026: Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan satu sesi perbincangan bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Lahar, Mukim Malau bagi meneroka peluang kerjasama dalam pelaksanaan program komuniti dan khidmat masyarakat.
Dekan SOG, Prof. Dr. Halimah Abdul Manaf berkata, perjumpaan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Eksekutif, SOG itu menjadi platform awal untuk membina hubungan strategik antara pihak universiti dan komuniti setempat.

Menurutnya, SOG menyambut baik kehadiran delegasi JPKKP Kampung Lahar serta menyatakan komitmen untuk terus memperkukuhkan penglibatan universiti bersama masyarakat melalui pelbagai program berimpak sosial dan pembangunan komuniti.
Antara agenda utama yang dibincangkan termasuk pelaksanaan aktiviti gotong-royong komuniti, kerja-kerja mengecat balai serbaguna kampung, penglibatan pelajar dalam program kemasyarakatan, serta jemputan kepada warga SOG untuk menghadiri Program Santai dan Silaturahim Kampung Lahar.
Selain itu, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai bentuk kerjasama yang boleh dilaksanakan secara berterusan demi memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Perbincangan tersebut turut menekankan kepentingan penglibatan pelajar dalam aktiviti lapangan dan khidmat masyarakat sebagai medium pembelajaran yang lebih praktikal dan dekat dengan realiti kehidupan komuniti.
Penglibatan seperti ini dapat membantu membentuk nilai kepimpinan, semangat kesukarelawanan, kemahiran komunikasi serta rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar universiti.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Komuniti dan Jaringan Industri, SOG, Dr. Noor Hanis Zainol Abidin berkata, usaha kolaboratif ini juga dilihat selari dengan pendekatan quadruple helix yang menekankan kerjasama antara universiti, kerajaan, industri dan komuniti dalam menjayakan pembangunan masyarakat secara bersama.
Menurutnya, pendekatan ini memberi penekanan kepada perkongsian kepakaran, idea dan sumber antara pelbagai pihak bagi menghasilkan impak sosial yang lebih menyeluruh dan mampan.
Dalam konteks ini, komuniti bukan sekadar penerima manfaat, malah turut berperanan sebagai rakan strategik dalam pembangunan setempat.
Pihak SOG berharap sesi perbincangan ini dapat menjadi titik permulaan kepada pelaksanaan pelbagai program kerjasama yang lebih aktif dan berterusan pada masa hadapan demi memperkukuhkan hubungan antara universiti dan komuniti.
Kampung Lahar diwakili Pengerusi JPKKP, Mohd Fazlan Zakaria bersama Fazmi Fazil dan Kasim Othman.



