UUM perkasa pendidikan inklusif, pelajar separuh masa turut diberi layanan setara
Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 25 April 2026: Semua pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) berhak menikmati pengalaman pembelajaran setara tidak kira latar belakang pengajian sama ada secara sepenuh atau separuh masa.
Naib Canselornya, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, UUM komited memastikan peluang pendidikan inklusif kepada semua pelajar yang mengikuti pengajian di universiti berkenaan.
“Selagi mereka merupakan pelajar UUM, kita akan memastikan layanan diberikan adalah sama seperti pelajar sepenuh masa. Ini kerana, tidak kira latar belakang program pengajian, mereka adalah sebahagian daripada UUM. Sehingga 2025, UUM melalui Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE) telah melahirkan seramai 10,977 graduan, manakala bagi tahun 2026 dianggarkan sekitar 750 graduan bakal menamatkan pengajian,” jelas beliau.

Prof. Dr. Ahmad Martadha berkata demikian ketika berucap pada Majlis Interaksi Naib Canselor bersama pelajar program separuh masa anjuran PACE yang berlangsung di Dewan Seminar A, Kompleks Konvensyen UUM Sintok.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri, para pensyarah serta staf universiti.
Menurut Naib Canselor lagi, sesi interaksi itu menjadi salah satu platform penting kepada pelajar PACE menyuarakan pandangan sepanjang mengikuti pengajian di UUM dan berkongsi cabaran untuk ditangani secara berkesan oleh pihak universiti.

Sementara itu, Pengarah PACE, Prof. Madya Dr. Rozita Abdul Mutalib berkata, sejak penubuhannya pada 1 April 1999, PACE berada di landasan tepat untuk memperkasa agenda pembelajaran sepanjang hayat yang berkualiti selaras dengan misi melahirkan modal insan inovatif menerusi program pendidikan berterusan UUM.
Jelasnya, PACE terus memainkan peranan penting dalam menyediakan peluang pendidikan yang fleksibel serta relevan dengan keperluan semasa bagi menarik lebih ramai menyertai program pengajian separuh masa terutama bagi yang berkerjaya.

“PACE sentiasa berpegang kepada visi untuk menjadi pusat pengurusan pendidikan berterusan terkemuka. Bagi merealisasikan hasrat ini, kami memberi penekanan kepada sistem pembelajaran yang komprehensif, prasarana yang memenuhi piawaian akreditasi serta tenaga pengajar yang berkelayakan dan berkualiti,” jelas beliau.
Dari segi enrolmen semasa, jumlah pelajar aktif PACE sehingga 23 April 2026 adalah 2,116 orang terdiri daripada 1,645 pelajar separuh masa dan 471 pelajar dalam mod Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL).
Ini mencerminkan kepercayaan masyarakat terhadap peranan PACE UUM dalam menyediakan akses pendidikan yang inklusif dan fleksibel.



