Pensyarah UUM kongsi ilmu di Seminar Kesedaran dan Pemerkasaan Autisme
Berita dan gambar Dr. Nur Syuhada Radzi
ALOR SETAR, 26 April 2026: Bersempena Bulan Kesedaran Autisme, Seminar Kesedaran dan Pemerkasaan Autisme Peringkat Negeri Kedah 2026 (Siri 1) telah dilaksanakan dengan jayanya di Dewan Konvokesyen, Albukhary International University, baru-baru ini.

Program anjuran Pejabat EXCO Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Perpaduan Negeri Kedah ini diterajui oleh YDato’ Halimaton Shaadiah Saad selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Perpaduan Negeri Kedah dengan sokongan Majlis Kebajikan Negeri Kedah serta penglibatan rakan strategik merangkumi Albukhary International University, Universiti Utara Malaysia (UUM), Hospital Sultanah Bahiyah, NASOM Kedah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, PERKESO, LPPKN serta pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta.
Seminar ini telah menghimpunkan kira-kira 400 peserta yang terdiri daripada ibu bapa, pendidik, pengamal kesihatan dan penjaga dalam usaha memperkukuh kefahaman, meningkatkan kesedaran serta memperluas jaringan sokongan terhadap individu dalam spektrum autisme.

Penganjuran ini turut diserikan dengan pameran pelbagai agensi, perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma serta ruang interaksi komuniti yang inklusif.
Pengisian seminar merangkumi sesi perkongsian ilmu oleh pakar-pakar dalam bidang berkaitan, antaranya:
- “Autisme: Apa yang Ibu Bapa Perlu Tahu” oleh Dr. Mohd Affendi Hashim, Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Sultanah Bahiyah;
- “Memecahkan Mitos dan Membina Kefahaman: Satu Tinjauan Mendalam tentang Gangguan Spektrum Autisme” oleh Dr. Yusni Yusoff, Pakar Perunding Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja;
- “Halatuju Pendidikan Kanak-kanak Berkeperluan Khas” oleh Prof. Madya Dr. Hasnah Toran, Pakar Pendidikan Khas, Universiti Kebangsaan Malaysia;
- “Sokongan Intervensi Anak di Rumah: Apa Peranan Ibu Bapa?” oleh Dr. Nazmin Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Utara Malaysia
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Dato’ Halimaton Shaadiah yang menegaskan kepentingan pendekatan kolaboratif dan bersepadu antara agensi kerajaan, institusi pendidikan serta masyarakat dalam memperkasa komuniti autisme secara holistik dan mampan.

Turut hadir ke majlis penutup ialah Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Dr. Nur Rasyidah Mohd Nordin yang mewakili UUM sebagai rakan strategik program.
Dalam perkembangan berkaitan, penghargaan dan ucapan tahniah turut diberikan kepada Dr. Yusniza Mohd Yusoff dan Dr. Nazmin Abdullah atas kejayaan memperoleh geran Kementerian Pendidikan Tinggi berjumlah RM1.5 juta bagi penubuhan sebuah pusat intervensi di kampus Universiti Utara Malaysia.
Dr. Yusniza berkata, inisiatif ini dijangka memberi manfaat besar kepada kanak-kanak autisme serta keluarga mereka dalam jangka masa panjang.

Penganjuran seminar ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri Kedah dalam memperkasakan agenda kesejahteraan sosial, khususnya dalam meningkatkan kesedaran, mengurangkan stigma serta memperluas akses sokongan yang inklusif kepada komuniti berkeperluan khas.
Lebih daripada sekadar program, inisiatif ini menjadi manifestasi tekad bersama dalam membina sebuah Kedah Sejahtera yang berteraskan nilai ihsan, empati dan kebersamaan. Usaha bersepadu ini diharap dapat terus menyemai budaya masyarakat penyayang yang menghargai kepelbagaian, sekali gus memastikan tiada golongan yang terpinggir dalam arus pembangunan negeri.



