General

Program J-KIS tekankan kawalan emosi dan nilai ADAB

Gambar Hairul Nizam Zahari

SINTOK, 26 April 2026: Program Jerayawara Kesedaran Isu Sosial atau J-KIS yang melibatkan golongan belia dari Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Zon Utara menekankan kepentingan mengurus emosi, memahami perbezaan pandangan serta mendekatkan diri kepada Tuhan dalam menghadapi cabaran sosial masa kini.

Program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM) itu melibatkan pelbagai agensi seperti penguatkuasaan, kesihatan, pendidikan dan komuniti, sekali gus menunjukkan bahawa isu sosial tidak boleh ditangani secara bersendirian, sebaliknya memerlukan pendekatan bersepadu serta kerjasama pelbagai pihak.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli berkata, isu sosial bukan sahaja tertumpu kepada golongan muda, malah boleh berlarutan hingga dewasa sekiranya tidak ditangani sejak awal.

Beliau turut mengingatkan bahawa konflik sering berpunca daripada kegagalan memahami perspektif yang berbeza walaupun berdepan situasi yang sama.

Mengambil contoh kisah Nabi Yusuf dalam al-Quran, peserta diingatkan tentang kepentingan mengawal keinginan dan emosi, serta menilai setiap tindakan berdasarkan apa yang diredai Tuhan, bukan semata-mata kehendak diri.

Program tersebut turut memperkenalkan konsep ADAB sebagai panduan amalan harian, iaitu A – Sapa dengan salam, D – Doa, A – Amanah, B – Berterima kasih.

Selain itu, peserta digalakkan menjadikan doa sebagai sumber kekuatan ketika berdepan kelemahan emosi, di samping mengamalkan sikap bersyukur bagi memperoleh keberkatan dalam kehidupan.

Penganjuran program ini dilihat sebagai usaha berterusan dalam melahirkan belia yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berakhlak serta mampu menjadi pemimpin naratif dalam masyarakat.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, Program J-KIS ini amat relevan dan signifikan dalam konteks semasa, khususnya dalam mendepani pelbagai cabaran sosial yang semakin kompleks dalam kalangan generasi muda.

Menurutnya, UUM melalui Pusat Islam sentiasa komited dalam usaha pembangunan sahsiah pelajar apabila telah merancang dan melaksanakan lebih daripada 100 program berbentuk kerohanian serta pembinaan sahsiah bagi melahirkan pelajar yang seimbang dari sudut intelek dan spiritual.

Katanya, selaras dengan kepentingan pembangunan sahsiah pelajar dan staf, beliau telah memperkenalkan gagasan “Menjulang Ilmu, Mengakar Adab” yang memberi inspirasi kepada warga UUM untuk menitikberatkan nilai dan akhlak.

“Gagasan ini diterjemahkan melalui pendekatan yang praktikal, antaranya melalui penghayatan akronim ADAB, iaitu A – Sapa dengan salam, D – Sentiasa berdoa, A – Amanah, B – Berterima kasih.

“Nilai-nilai ini menjadi asas penting dalam membentuk mahasiswa yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berakhlak mulia serta berintegriti tinggi,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri.

Majlis Perasmian Program Jerayawara Kesedaran Isu Sosial (J-KIS) Peringkat Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Zon Utara Tahun 2026 itu turut disusuli dengan peluncuran Buku Manual Islam dan HIV/AIDS Edisi Kedua, peluncuran akronim ADAB UUM serta penyampaian sijil penghargaan kepada agensi terlibat.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM, Hazizah Yusoff yang mewakili Ketua Pengarah JAKIM; Pengarah Pusat Islam UUM, Mohd Yusnaidi Md. Sabri serta pegawai kanan UUM dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button