UUM perkukuh peranan dalam agenda AI Negara melalui inisiatif Microsoft Elevate
Berita dan gambar oleh Prof. Madya Dr. Mohd Khairie Ahmad
PUTRAJAYA, 24 April 2026 – Universiti Utara Malaysia (UUM), melalui Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), terus memperkukuh kedudukannya dalam agenda digital negara sebagai rakan strategi utama inisiatif Microsoft Elevate.
Program yang dilancarkan oleh Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo, bertujuan mempercepat kesediaan kecerdasan buatan (AI) negara menjelang 2030.

Kehadiran Dekan SMMTC, Prof. Madya Dr. Mohd Khairie Ahmad, dalam majlis pelancaran di Hotel Zenith Putrajaya itu menyaksikan pengiktirafan Kementerian Digital dan Microsoft Malaysia kepada UUM sebagai rakan universiti awam yang komited dalam pembangunan kapasiti AI.
Dalam majlis tersebut, SMMTC telah menerima sijil penghargaan atas sumbangan berterusan dalam memperkasakan kemahiran AI bagi komuniti akademik dan pelajar.

Kerjasama ini merupakan kesinambungan kejayaan bengkel “AI TEACH Malaysia” tahun lalu. Melalui program Microsoft Elevate, Microsoft akan berkerjasama dengan SMMTC menganjurkan latihan bagi menyokong usaha melengkapkan tenaga pengajar dan pelajar dengan kemahiran AI praktikal yang selaras dengan keperluan industri masa kini.
Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan daya saing graduan UUM, malah memastikan warga universiti kekal relevan dalam ekonomi digital yang dipacu oleh AI. Pengiktirafan Microsoft ini sekali gus mengukuhkan tujahan ke-9 UUM bagi 2026 iaitu pendemokrasian kecerdasan buatan (AI) secara inklusif dalam ekosistem universiti.



