Education

Memperkasa Graduan Perakaunan: Kolaborasi UUM dan KPMG Malaysia

Gambar oleh: TISSA-UUM

PETALING JAYA, 23 April 2026: Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Universiti Utara Malaysia (TISSA-UUM) telah mengadakan kunjungan rasmi ke KPMG Malaysia. Kunjungan ini bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara institusi akademik dan industri profesional.

Delegasi UUM diketuai oleh Dekan, Prof. Madya Dr. Raja Haslinda Raja Mohd Ali, bersama Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Dr. Mohd Hadzrami Harun Rasit, serta Pengerusi Program Pascasiswazah, Prof. Madya Dr. Siti Seri Delima Abdul Malak dan Dr. Mohd Hadafi Sahdan.

 

Delegasi ini telah disambut oleh wakil kanan KPMG Malaysia iaitu Chan Chee Keong, Partner merangkap Head of Risk Consulting, serta Fione Ho, Head of People, Performance & Culture.

Sesi perbincangan memberi tumpuan kepada peluang penempatan latihan industri dan program apprentis bagi pelajar dalam pelbagai bidang, khususnya perakaunan, sebagai usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Selain itu, kedua-dua pihak menekankan kepentingan pendedahan awal kepada pelajar terhadap perkembangan semasa dalam dunia perakaunan melalui lawatan industri, perkongsian teknikal serta pendedahan kerjaya. Inisiatif ini dilihat mampu memperkukuh kefahaman pelajar terhadap keperluan sebenar industri profesional.

 

Perbincangan turut menyentuh peranan industri dalam memberi input dan nasihat terhadap pembangunan serta hala tuju program akademik bagi memastikan kesesuaian kurikulum dengan kehendak pasaran semasa. Secara keseluruhan, kunjungan ini mencerminkan komitmen bersama dalam merapatkan jurang antara universiti dan industri ke arah melahirkan graduan yang lebih kompeten, relevan dan berdaya saing. – Prof. Madya Dr. Siti Seri Delima Abdul Malak

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button