Campus

Inovasi penilaian risiko ergonomik melalui geran penjanaan penyelidikan berimpak tinggi UUM

Berita dan gambar oleh: Dr. Norwahida binti Yakub @ Yaakub

KUALA LUMPUR, 27 April 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh agenda penyelidikan dan inovasi dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) apabila menganjurkan sesi Focus Group Discussion (FGD) bagi projek penyelidikan Smart ERA: Development and Validation of an AI and AR-Assisted Initial Ergonomic Risk Assessment Tool for Malaysian SMEs.

Sesi FGD bersama pakar dan rakan kolaborasi ini telah dikelolakan oleh ahli kumpulan penyelidik, iaitu Dr. Norwahida Yaakub, pensyarah KKP dari UUM Kuala Lumpur, bersama Dr. Siti Salmi Jamali dari Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Universiti Utara Malaysia.

Sesi yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Bunga Raya, UUM Kuala Lumpur ini menghimpunkan barisan panel pakar yang terdiri daripada pensyarah yang juga merupakan pengamal industri dalam penilaian risiko ergonomik daripada university awam dan swasta dalam negara, iaitu Dr. Hajah Siti Nurhafizah Saleeza Ramlee (UPNM), Dr. Hairul Nazmin Nasruddin (UiTM), Dr. Ayuni Nabilah Alias (UPM), Puan Nur Fazhilah Abdul Razak (UMPSA), serta Puan Siti Maisarah Amdan (OUM).

Kesemua panel yang dijemput merupakan Ergonomic Trained Person (ETP) yang diiktiraf oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP/DOSH), serta mempunyai kepakaran teknikal dan pengalaman praktikal dalam pelaksanaan penilaian risiko ergonomik di tempat kerja. Gabungan peranan sebagai ahli akademik dan pengamal industri ini memastikan perbincangan yang dijalankan memenuhi keperluan akademik serta berteraskan realiti industri.

Turut mencuri tumpuan ialah penglibatan rakan kolaborasi industri, iaitu Akar Indah Engineering Sdn. Bhd., yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Puan Rohana Rahmat, bersama Pengarah Urusan, Encik Mohd Yuzairin Bin Md Yunus. Kehadiran kepimpinan tertinggi ini mencerminkan komitmen kukuh pihak industri dalam menyokong pembangunan inovasi KKP berasaskan teknologi.

Akar Indah Engineering merupakan syarikat tempatan yang menyediakan penyelesaian kejuruteraan dan teknologi industri, termasuk automasi serta pembangunan sistem pintar selaras dengan keperluan Industri 4.0. Dalam projek ini, syarikat tersebut berperanan sebagai rakan pembangunan (developer) bagi aplikasi Smart ERA, sekali gus memastikan sistem yang dibangunkan bukan sahaja mantap dari sudut teknikal, malah praktikal dan bersesuaian dengan keperluan sebenar industri, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Menurut Encik Mohd Yuzairin Bin Md Yunus, pihaknya bersetuju untuk bekerjasama melalui sumbangan secara in-kind dalam pembangunan aplikasi Smart ERA.

“Kami melihat projek ini sebagai satu inisiatif strategik yang berpotensi tinggi untuk memberi impak kepada industri. Pihak kami komited menyumbang kepakaran teknikal dan pembangunan sistem secara in-kind yang dianggarkan bernilai sekitar RM30,000. Jika mengambil kira penglibatan sumber manusia dan kepakaran yang disalurkan, nilai keseluruhan sumbangan ini boleh mencecah sehingga RM70,000,” katanya.

Sesi FGD ini bertujuan mendapatkan pandangan pakar berkaitan pembangunan instrumen penilaian risiko ergonomik berasaskan teknologi Artificial Intelligence (AI) dan Augmented Reality (AR). Perbincangan turut memberi tumpuan kepada aspek kesahan kandungan (content validity), kebolehgunaan (usability) serta kebolehpercayaan (reliability) sistem sebelum fasa pembangunan prototaip dilaksanakan.

Menurut ketua penyelidik, Ts. Dr. Syazwan Syah bin Zulkifly dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), pendekatan ini penting bagi merapatkan jurang antara teori dan amalan industri, selain memastikan setiap komponen yang dibangunkan benar-benar memenuhi keperluan pengguna di lapangan.

Sebagai simbol sokongan terhadap inisiatif penyelidikan dan inovasi ini, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, turut sudi meluangkan masa untuk sesi bergambar bersama barisan penyelidik, ahli panel pakar serta rakan kolaborasi industri yang terlibat, sekali gus mencerminkan sokongan beliau terhadap agenda penyelidikan berimpak tinggi.

Inisiatif ini sekali gus memperkukuh peranan UUM sebagai peneraju inovasi KKP berasaskan teknologi di peringkat nasional, selari dengan aspirasi universiti dalam memacu penyelidikan berimpak tinggi yang menyumbang kepada kesejahteraan pekerja dan kelestarian organisasi.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button