Education

Sukarelawan Dana Sosial Takaful IBS UUM sumbang tenaga jayakan program khidmat komuniti

Gambar Nur Ain Fatihah Zainudin

CHANGLUN, 29 April 2026: Sukarelawan Dana Sosial Takaful (STF) Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) terus memperkukuhkan peranan universiti dalam pembangunan komuniti menerusi penganjuran program brisk walk dan program gotong-royong di Masjid Ibnu Sina Kg Tradisi.

Pengarah Program, Mohd Saharudin Shakrani berkata, aktiviti ini menjadi medium untuk mengeratkan hubungan antara sukarelawan dan komuniti setempat.

Menurutnya, sukarelawan STF IBS UUM bukan sahaja menyumbang tenaga dalam menjayakan program kebajikan, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan sosial, pendidikan kewangan Islam dan pembentukan modal insan berkualiti.

“Peranan mereka amat signifikan dalam memastikan agenda kesejahteraan masyarakat dapat dilaksanakan secara mampan dan berimpak tinggi,” katanya.

Program yang bermula dengan aktiviti brisk walk pada awal pagi di sekitar Changlun melibatkan penyertaan 50 sukarelawan STF IBS Universiti Utara Malaysia (UUM) bertujuan memupuk amalan gaya hidup sihat yang menjadi aspirasi UUM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga sihat, berdisiplin dan berdaya tahan.

Usai aktiviti brisk walk, para sukarelawan meneruskan program gotong-royong di Masjid Ibnu Sina Kg Tradisi Changlun.

Program yang turut mendapat sokongan dari ahli jawatankuasa masjid ini juga melibatkan pembersihan kawasan ruangan solat dan kawasan persekitaran masjid serta menyusun kemudahan solat bagi memastikan keselesaan jemaah. – Mohd Saharudin Shakrani

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button