SOE UUM perkasa profesionalisme guru Pendidikan Islam Perlis melalui penawaran Program Sarjana Pendidikan
Berita dan gambar Dr. Nazmin Abdullah dan Dr. Zurina Hamid
KANGAR, 29 April 2026: Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus komited memperluaskan akses pendidikan tinggi buat warga pendidik menerusi penganjuran Taklimat Promosi dan Penawaran Program Sarjana Pendidikan (Pendidikan Islam) yang diadakan di Balai Sidang Perdana, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis (Cawangan) semalam.

Sesi taklimat ini merupakan hasil kerjasama strategik antara UUM dan Sektor Pendidikan Islam JPN Perlis bagi memberi pendedahan khusus mengenai peluang pengajian pascasiswazah kepada Guru Pendidikan Islam (GPI) di negeri ini dalam usaha meningkatkan tahap profesionalisme keguruan.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, JPN Perlis, Dr. Khairul Anuar Saad di mana dalam ucapannya menyambut baik inisiatif UUM dalam membantu guru-guru meningkatkan tahap akademik mereka seiring dengan tuntutan pendidikan masa kini.
Seterusnya, Pengerusi Program Pascasiswazah Luar Kampus, Dr. Muhd Zulhilmi Haron yang mewakili Dekan SOE menyampaikan ucapan penghargaan kepada pihak JPN Perlis atas sokongan padu yang diberikan bagi menjayakan sesi promosi ini.

Sesi utama program telah dikendalikan oleh Pengerusi Program Sarjana Pendidikan UUM, Dr. Nazmin Abdullah, yang menyampaikan taklimat terperinci mengenai struktur Program Sarjana Pendidikan (Pendidikan Islam) serta menekankan fleksibiliti mod pengajian luar kampus yang direka khusus bagi memudahkan guru mengimbangi antara tuntutan kerjaya dan pengajian.
Selain itu, beliau turut berkongsi maklumat penting berkaitan prosedur permohonan kemasukan ke UUM bagi memastikan para calon mendapat gambaran jelas mengenai langkah-langkah yang perlu diambil untuk melanjutkan pengajian.
Program yang dihadiri oleh guru-guru daripada pelbagai sekolah di sekitar Perlis ini diakhiri dengan sesi soal jawab.
Inisiatif ini selaras dengan hasrat SOE UUM untuk membina jaringan kolaboratif yang menyokong transformasi ekosistem pendidikan negara menerusi sistem pendidikan MADANI yang progresif dan berimpak tinggi.



