Bengkel Verifikasi KPM: SOE UUM perkukuh jaminan penempatan bakal guru
Berita dan gambar Prof. Madya Ts Dr. Irwan Mahazir Ismail, Dr. Saifolrudin Khalid Mahzan, Nor Ashikin Ishak dan Dr. Faizahani Ab Rahman
NILAI, 30 April 2026: Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan peranan strategiknya dalam memastikan kebolehpasaran graduan pendidikan melalui penyertaan aktif dalam Bengkel Verifikasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berlangsung di Institut Aminuddin Baki.
Bengkel Verifikasi yang menghimpunkan pelbagai wakil institusi pengajian tinggi awam ini memberi fokus kepada penyelarasan unjuran penempatan graduan pendidikan agar selari dengan keperluan semasa Kementerian Pendidikan Malaysia.

Inisiatif ini dilihat sebagai satu mekanisme penting dalam memastikan graduan pendidikan tidak hanya memenuhi keperluan akademik, malah relevan dengan permintaan sebenar sektor pendidikan negara.
Delegasi SOE Universiti Utara Malaysia diketuai oleh Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Prof. Madya Ts Dr. Irwan Mahazir Ismail bersama barisan pengerusi program iaitu Dr. Saifolrudin Khalid Mahzan, Nor Ashikin Ishak dan Dr. Faizahani Ab Rahman.
Dr. Irwan berkata, penglibatan dalam bengkel ini sangat signifikan kerana ia membuka ruang kepada universiti untuk menilai semula unjuran pengambilan pelajar serta penawaran program pendidikan berdasarkan data dan keperluan sebenar pihak KPM.

“Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengurangkan isu lebihan graduan, tetapi turut menjamin peluang penempatan yang lebih tersusun kepada bakal guru,” katanya.
Selain itu, bengkel ini turut menjadi platform perbincangan dua hala antara pihak universiti dan KPM dalam memperhalusi aspek kurikulum, kapasiti program serta keperluan opsyen pengkhususan guru di sekolah-sekolah seluruh negara.
Penyertaan SOE dalam Bengkel Verifikasi ini mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memastikan kualiti graduan pendidikan sentiasa relevan, kompetitif dan mempunyai jaminan kebolehpasaran yang tinggi seiring aspirasi pendidikan negara.



