Education

CEDI perkasa bakat usahawan pelajar melalui lawatan industri ESG dan kitar tinggi di Thailand

Gambar Haizad Mazlan

THAILAND, 30 April 2026: Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program Lawatan Industri ke Thailand sebagai sebahagian daripada pengisian fasa 2 dalam Program Hijau Arambam Cuanxin: Program Keusahawanan Lestari – Memperkasa Kitar Tinggi Berasaskan ESG, sebuah inisiatif pembangunan keusahawanan pelajar yang dibiayai oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Program yang bermula sejak Oktober 2025 ini merupakan inisiatif strategik CEDI bagi memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan mahasiswa melalui pendekatan kelestarian, ekonomi kitaran dan prinsip Environmental, Social and Governance (ESG). Lawatan industri ini merupakan kesinambungan kepada siri modul latihan keusahawanan dan pembangunan projek pelajar yang telah dimulakan di kampus.

Lawatan yang melibatkan seramai 43 peserta yang terdiri daripada pelajar dan pensyarah ini memberi pendedahan langsung kepada peserta terhadap amalan terbaik industri dalam bidang kitar tinggi (upcycling), pengurusan sisa dan inovasi produk lestari di peringkat antarabangsa.

Antara pengisian utama program ialah lawatan ke Wongpanit Krabi, sebuah syarikat yang terkenal dalam bidang pengurusan sisa dan kitar semula yang menukarkan bahan buangan plastik kepada pelbagai produk bernilai komersial. Peserta telah didedahkan kepada proses pengumpulan, pengasingan dan pemprosesan bahan kitar semula yang seterusnya diolah menjadi T-shirt berasaskan plastik kitar semula, barangan rumah seperti perkakas dapur, serta kraftangan menarik yang sesuai dijadikan cenderamata.

Lawatan ini turut membuka mata peserta terhadap potensi besar ekonomi kitaran apabila bahan buangan yang sebelum ini dianggap tidak bernilai berjaya ditukar kepada produk yang mempunyai permintaan pasaran yang tinggi.

Selain itu, peserta turut mengadakan lawatan industri ke Poonsook Craft, sebuah perusahaan kreatif yang memfokuskan kepada penghasilan produk kitar tinggi daripada penutup botol, sisa laut dan bahan plastik terpakai. Antara produk yang dihasilkan termasuk permainan kanak-kanak, beg kain, baju serta pelbagai kraftangan kreatif yang mempunyai nilai estetika dan komersial yang tinggi.

Sesi lawatan ini memberi inspirasi kepada pelajar dalam meneroka idea produk masing-masing, khususnya bagaimana elemen kreativiti, reka bentuk dan penjenamaan mampu meningkatkan nilai sesuatu produk kitar tinggi.

Ketua Projek, Prof. Madya Dr. Nurakmal Ahmad Mustaffa berkata, lawatan ini merupakan komponen penting dalam memperkukuhkan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) yang menjadi teras program.

“Program ini bukan sekadar memberi pendedahan teori, tetapi membuka ruang kepada pelajar untuk melihat sendiri bagaimana bahan terbuang boleh ditransformasikan menjadi produk yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi. Ini sangat penting bagi memperkasa projek pelajar dalam Fasa 2 sebelum mereka melangkah ke fasa pembentangan akhir,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif CEDI, Dr. Juhaida Abu Bakar menzahirkan penghargaan atas komitmen semua pihak yang menjayakan lawatan ini dan menegaskan komitmen CEDI untuk terus memperkukuh ekosistem keusahawanan lestari di universiti.

“CEDI komited untuk terus menjadi peneraju dalam pembangunan bakat usahawan pelajar yang bukan sahaja kreatif dan inovatif, malah mempunyai kesedaran tinggi terhadap tanggungjawab sosial dan alam sekitar selaras dengan aspirasi ESG serta SDG 8 dan SDG 12,” katanya.

Salah seorang peserta program, Wan Nurin Jazlina Wan Jasrifaizul turut berkongsi pengalamannya sepanjang menyertai lawatan tersebut.

“Lawatan ini memberi peluang kepada saya untuk belajar secara langsung daripada industri sebenar dan meneroka potensi besar produk kitar tinggi.

“Saya dapat melihat bahawa pasaran untuk produk berasaskan bahan kitar semula sebenarnya sangat luas, khususnya apabila disokong dengan reka bentuk, penjenamaan dan strategi pemasaran yang baik,” katanya.

CEDI berharap program ini akan terus bergerak lancar ke fasa seterusnya yang melibatkan pemantapan projek, pembentangan hasil dan penilaian akhir, sebelum dijangka menamatkan keseluruhan program pada Disember 2026.

Program ini dijangka terus menjadi platform penting dalam melahirkan generasi usahawan muda yang berdaya cipta, lestari dan berimpak tinggi kepada komuniti serta negara. – Akmal Ahlami Md Rozai

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button