Education

UUM perkasa peranan dalam KKP Negara melalui libat urus OSHMP30 Bersama JKKP dan Industri

Gambar Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

PORT DICKSON, 30 April 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) mengukuhkan peranan dalam revolusi landskap Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) negara apabila menyertai Sesi Libat Urus Teknikal KKP antara Kerajaan, Akademia dan Industri anjuran Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Kementerian Sumber Manusia.

UUM diwakili oleh Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko, Ts. Dr. Syazwan Syah Zulkifly telah dijemput ke sesi tersebut dari 27 hingga 28 April lalu di Grand Lexis Port Dickson, Negeri Sembilan.

Program ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2026–2030 (OSHMP30) yang dirangka bagi meningkatkan kesejahteraan pekerja, memperkukuhkan perlindungan keselamatan serta menyokong produktiviti nasional melalui persekitaran kerja yang selamat dan mampan.

Sesi libat urus ini menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan merangkumi wakil agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, pemain industri serta badan penyelidikan seperti JKKP, NIOSH, MOSTI dan MRANTI yang terlibat  dalam pembangunan ekosistem penyelidikan serta inovasi negara.

Perbincangan memberi penekanan kepada pelaksanaan Teras Strategik 6 (TS6) yang memfokuskan penjelmaan budaya KKP melalui pembangunan kapasiti progresif, termasuk pengukuhan penyelidikan, pendidikan dan kompetensi profesional dalam bidang KKP.

Selaras dengan Teras Strategik 6, Program 2 (Aktiviti 1) yang menekankan pengukuhan kerjasama penyelidikan antara akademia, industri dan agensi berkaitan, Ts. Dr. Syazwan Syah Zulkifly  yang juga merupakan Felo Penyelidik IBCSI UUM dan Felo Penyelidik Bersekutu bagi PKKPK UUM turut akan dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Teknikal bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tersebut di peringkat nasional.

Di samping itu, sesi ini menekankan keperluan memperkukuh budaya keselamatan tempat kerja melalui pendekatan berasaskan penyelidikan, pengukuran sistematik serta pembangunan intervensi yang lebih berfokus dalam meningkatkan tahap keselamatan organisasi.

Pengerusi Teras Strategik 6 (TS6) OSHMP30, Ir. Dr. Nor Halim Hasan menerusi ucaptamanya berkata, penglibatan aktif institusi akademia adalah penting dalam memperkasa ekosistem KKP negara.

“Akademia perlu memanfaatkan peranan NIOSH dan agensi-agensi lain sebagai penyedia dana penyelidikan melalui penyelarasan bersama JKKP bagi mempercepatkan kolaborasi penyelidikan berimpak tinggi dengan industri.” katanya yang merupakan juga Pengarah JKKP Negeri Sembilan.

Pelaksanaan OSHMP30 turut mengambil kira cabaran semasa termasuk perubahan teknologi, peningkatan risiko pekerjaan yang kompleks serta keperluan menyesuaikan amalan KKP dengan landskap kerja baharu seperti model kerja hibrid dan ekonomi gig.

Penyertaan UUM dalam sesi ini mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam menyokong agenda nasional KKP, khususnya dalam aspek penyelidikan, pembangunan kapasiti serta pemindahan ilmu kepada industri dan komuniti selaras dengan nilai-nilai teras Malaysia MADANI. – Ts. Dr. Syazwan Syah Zulkifly

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button