Kejayaan Kem JOMKira: Pendekatan interaktif berjaya perkasa penguasaan operasi asas Matematik Pelajar Tahun 6 SK Felda Laka Selatan
Berita dan gambar oleh: Dr. Mohd Azri Pawan Teh
BUKIT KAYU HITAM, 24 April 2026: Kem JOMKira telah berjaya dilaksanakan dengan gilang-gemilang di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Laka Selatan baru-baru ini. Program yang sangat dinanti-nantikan oleh para pelajar ini telah berlangsung selama lima hari, bermula dari 19 hingga 23 April 2026.
Kem JOMKira ini merupakan kemuncak kepada hasil usaha Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Skim Geran Inovasi Sosial (SIGS) bagi projek penyelidikan inovasi bertajuk “Strengthening the Core Concepts of Basic Operations in Mathematics in Felda Laka Selatan Primary School via JOMKira Camp”, selepas mereka berjaya merangka modulnya pada bulan Januari yang lalu.

Kejayaan projek ini digerakkan oleh barisan lima orang penyelidik yang diketuai oleh Dr. Mohd Azri Pawan Teh, dan dibantu oleh Prof. Madya Dr. Nazrina Aziz, Prof. Madya Dr. Zakiyah Zain, Dr. Ayu Abdul Rahman, serta Dr. Nur Azulia Kamarudin.
Fokus utama penganjuran kem ini adalah untuk memperkukuh pemahaman pelajar terhadap konsep asas Matematik melalui pendekatan yang tidak membosankan. Sepanjang kem ini berlangsung, pasukan penyelidik dan fasilitator telah memberi tumpuan khusus kepada lima operasi pengiraan iaitu tambah, tolak, darab, bahagi, dan pecahan.
Bagi memastikan pelajar kekal fokus dan seronok, sebanyak sembilan permainan kecil, antaranya Arrange to make the biggest number dan Fraction Frenzy!, dan empat permainan utama seperti Snake and Ladder dan Egg Monopoly telah dianjurkan. Aktiviti berbentuk ‘bermain sambil belajar’ ini ternyata amat berkesan untuk membantu pelajar memahami dan menguasai kandungan pelajaran dengan lebih pantas.

Kejayaan penganjuran kem ini merupakan hasil kerjasama strategik yang sangat erat bersama rakan kolaborasi utama program, iaitu i-Sina. Kepakaran pihak i-Sina dalam mengendalikan teknik pembelajaran yang kreatif telah melengkapkan modul yang dibina oleh  fasilitator i-Sina dan para penyelidik UUM.
Seramai empat orang fasilitator i-Sina telah turun padang dan terlibat sepenuhnya dalam menjayakan kem ini, iaitu Puan Rahmalizah Ali, Puan Airini Razak, Puan Rohaya Omar, dan Puan Salwa A Aziz.
Bak kata peribahasa, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, muafakat dan pengemblengan tenaga antara UUM dan i-Sina telah berjaya memastikan kelancaran setiap aktiviti di samping memberikan pengalaman pembelajaran yang luar biasa kepada para pelajar.
Pelaksanaan program berskala besar yang memberi manfaat kepada pelajar ini turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak penaja yang prihatin. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) UUM, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), dan Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ) UUM atas dana dan sokongan yang disalurkan. Lebih menggembirakan, para pelajar turut disajikan dengan tajaan makanan yang menyelerakan sumbangan daripada pihak Gardenia Malaysia dan McDonald’s Malaysia sepanjang kem ini berlangsung.

Kemuncak program ini diserikan dengan Majlis Perasmian Penutupan yang telah disempurnakan oleh Encik Shazril Hanis bin Salmi, Ketua Divisyen Pendidikan, LZNK.
Majlis yang penuh bermakna ini turut dihadiri oleh Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Majid, Pengarah IPIZ UUM; Encik Mohamad Zulkhairi, Yang Dipertua (YDP) PIBG SK Felda Laka Selatan; dan Puan Kamariah Kamaruddin, Guru Besar SK Felda Laka Selatan.
Turut sama meraikan majlis penutupan ini adalah barisan guru-guru yang berdedikasi serta para pelajar Tahun 6 sekolah berkenaan.
Secara keseluruhannya, Kem JOMKira telah meninggalkan impak yang sangat positif kepada pelajar dan komuniti luar bandar. Melalui inisiatif proaktif ini, persepsi pelajar bahawa Matematik adalah subjek yang sukar kini berjaya diubah menjadi sesuatu yang menyeronokkan. Adalah diharapkan agar segala ilmu dan teknik pengiraan yang diterapkan ini dapat digunakan dengan sebaiknya untuk melonjakkan kecemerlangan akademik pelajar SK Felda Laka Selatan di masa hadapan.



