Education

Dari Sintok Ke Bandung: Pelajar sertai persidangan antarabangsa perkasa komuniti lestari

Gambar oleh: Nur Raihan Yasmin Mohd Khusyairi

BANDUNG, 4 Mei 2026: Usaha memperkasa pendedahan global dalam kalangan mahasiswa terus diperkukuh apabila pelajar daripada Universiti Utara Malaysia menyertai International Mini Conference – Sustainable Communities: Bridging Governance, Policy and Well-Being yang dianjurkan oleh Politeknik Sekolah Tinggi Ilmu Administrasi (STIA LAN), Bandung, Indonesia.

Penyertaan ini merupakan sebahagian daripada Program Jaringan Ilmiah antara Universiti Utara Malaysia dan STIA LAN di bawah inisiatif Program Mobiliti Antarabangsa Luar Bukan Kredit, yang bertujuan memperluas perspektif pelajar terhadap isu pembangunan lestari, tadbir urus serta kesejahteraan komuniti di peringkat antarabangsa.

Program mobiliti ini dilaksanakan melalui kerjasama antara Persatuan Pengurusan Pembangunan, Pusat Pengajian Kerajaan dan Inasis Bank Islam UUM, melibatkan penyertaan 19 orang pelajar daripada Persatuan Pengurusan Pembangunan dan 10 orang pelajar Inasis Bank Islam.

Sepanjang persidangan tersebut, para pelajar berpeluang mengikuti pembentangan akademik, sesi diskusi ilmiah serta pertukaran idea bersama peserta antarabangsa. Pengalaman ini membuka ruang kepada pelajar untuk memahami pendekatan pelbagai negara dalam menangani cabaran pembangunan komuniti, khususnya dalam aspek kelestarian dan kesejahteraan sosial.

Menurut Presiden Persatuan Pengurusan Pembangunan, Muhammad Harith Haikal bin Hasnizan, penyertaan dalam persidangan ini memberi peluang kepada pelajar untuk melihat secara langsung bagaimana konsep pembangunan lestari diaplikasikan dalam konteks sebenar di luar negara.

 

Penasihat Persatuan Pengurusan Pembangunan, Dr. Khofizhoah binti Mohd Karim pula menegaskan bahawa pendedahan antarabangsa seperti ini mampu membina keupayaan pelajar untuk berfikir secara kritis serta memahami hubungan antara dasar, tadbir urus dan kesejahteraan komuniti secara lebih menyeluruh.

Sementara itu, Pengetua Inasis Bank Islam, Dr. Adi Syahid bin Mohd Ali menyatakan bahawa penglibatan pelajar dalam program mobiliti antarabangsa bukan sahaja meningkatkan keyakinan diri, malah memperkukuh kemahiran komunikasi rentas budaya serta kepimpinan dalam kalangan mahasiswa.

Secara keseluruhannya, penyertaan pelajar UUM dalam International Mini Conference ini mencerminkan komitmen universiti dalam melahirkan graduan holistik dan berdaya saing global, selaras dengan aspirasi untuk memacu pembangunan komuniti lestari yang inklusif dan berdaya tahan melalui jaringan akademik antarabangsa. – Dr. Aidanajwa Sabri

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button