Campus

STF IBS UUM Jalin Kolaborasi Literasi Kewangan Bersama UiTM Merbok Kedah

Berita dan gambar oleh: Mohd Badrul Hakimi Daud

MERBOK, 28 April 2026: Dana Sosial Takaful IBS UUM terus memperkukuh agenda pemerkasaan literasi kewangan dalam kalangan mahasiswa melalui jalinan kerjasama strategik bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah, Kampus Merbok.

Satu lawatan rasmi delegasi IBS UUM ke UiTM Merbok telah diadakan hari ini bagi membincangkan pelaksanaan program literasi kewangan yang bakal melibatkan penyertaan pelajar UiTM dengan kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Delegasi STF IBS UUM diwakili oleh Dr Mohd Badrul Hakimi Daud, Dr Tubagus Thresna Irijanto, Dr Amirul Haqeem Abd Ghani dan En Mohd Saharudin Shakrani.

Manakala pihak UiTM Merbok diwakili Dr Sakinatul Raadiyah Abdullah, Ketua Program Pengajian (KPP) Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Cawangan Sungai Petani bersama-sama barisan pentadbir kampus serta pensyarah yang terlibat dalam pembangunan sahsiah dan kebajikan pelajar.

Perbincangan tertumpu kepada pengisian program yang bersifat interaktif, praktikal dan berimpak tinggi, termasuk modul pengurusan kewangan peribadi, kepentingan simpanan persaraan serta pendedahan awal mengenai perancangan kewangan jangka panjang.

Dr Mohd Badrul Hakimi berkata, kerjasama ini selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah celik kewangan serta mampu membuat keputusan kewangan yang bijak pada masa hadapan.

Penganjuran program ini juga membuktikan komitmen berterusan STF IBS UUM dalam memperluas jaringan strategik bersama institusi pengajian tinggi lain serta agensi berkaitan seperti KWSP demi kesejahteraan sosial dan kewangan masyarakat.

Program yang bakal berlangsung pada Mei nanti dijangka menarik penyertaan ratusan pelajar UiTM Merbok dan berpotensi menjadi model kerjasama universiti-agensi dalam memperkasa literasi kewangan di Malaysia.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button