Campus

Lawatan Industri STML ke PKT Logistics Perkukuh Jaringan Akademia-Industri

Berita dan gambar oleh: Dr. Azim Azuan Osman (JK Media, STML)

BATU KAWAN, 7 Mei 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan industri ke PKT Logistics, Batu Kawan, Pulau Pinang sebagai usaha memperkukuh pendedahan staf terhadap amalan sebenar industri logistik, pendidikan berasaskan industri dan inovasi persekitaran kerja.

Lawatan ini melibatkan kunjungan ke The 12 Waves, iaitu fasiliti pergudangan PKT Logistics yang pernah diiktiraf sebagai antara gudang terpanjang di Malaysia, di samping lawatan ke The Japanese Garden dan The Ship Campus, Peninsula College. The Ship Campus merupakan kampus berkonsepkan campus-in-industry yang terletak dalam kawasan One Auto Hub, Batu Kawan Industrial Park.

Menurut Dekan STML, Prof. Madya Ts. Dr. Kamarul Irwan bin Abdul Rahim, lawatan industri seperti ini penting dalam memastikan warga STML terus dekat dengan perkembangan sebenar industri.

“Pendedahan kepada ekosistem PKT Logistics, dan The Ship Campus bukan sahaja memperluas perspektif staf, malah membantu memperkukuh hubungan strategik antara universiti dan industri bagi menyokong pengajaran, penyelidikan dan jaringan kolaborasi yang lebih berimpak,” katanya.

Rombongan STML turut dibawa melawat Japanese Garden yang dibangunkan bersebelahan The 12 Waves. Menurut wakil pengiring PKT Logistics, En. Sarjana, taman tersebut dibangunkan dalam lima seksyen yang membawa simbolik kepada lima fasa kehidupan iaitu Pertumbuhan dan Pembentukan, Kematangan dan Kekuatan, Renungan dan Kebijaksanaan, Kefanaan dan Pematangan, serta Penamat dan Ketenangan.

“Japanese Garden ini bukan sekadar landskap rekreasi, tetapi mencerminkan falsafah, ketelitian dan nilai keseimbangan yang boleh dijadikan inspirasi dalam pengurusan organisasi dan pembangunan insan,” jelas beliau.

Lawatan ini selari dengan objektif program untuk memberi pendedahan langsung kepada staf akademik dan pentadbiran STML berkaitan operasi industri logistik, teknologi pertanian pintar, kelestarian serta peluang jaringan strategik bersama pihak industri.

Secara keseluruhannya, lawatan ini diharap dapat memperkaya perspektif staf STML dalam merancang aktiviti pengajaran, penyelidikan, inovasi dan kolaborasi industri yang lebih relevan dengan keperluan semasa.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button